MyCAP perintis misi Oscar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) yang menyediakan peruntukan kepada persatuan di bawah sektor industri kreatif bagi membiayai program pembangunan modal insan, menjadi perintis merealisasikan projek ‘Road to Oscars’.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata pihaknya mengatur rancangan bersepadu memastikan sasaran membawa karya tempatan bersaing pada Anugerah Akademi, tercapai.

“Sebelum ini, tiada perancangan khusus. Jadi dengan adanya gerak kerja ini, perancangan (membawa karya) ke anugerah antarabangsa itu (Anugerah Akademi) lebih nyata.

“Gerak kerja ini membabitkan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan agensinya serta MyCAP. Di bawah MYCAP, kita sudah merangka perancangan bersama persatuan yang dipilih menyertai program itu.

“Ia menjadi antara fasa ‘Road To Oscars’ di mana ada antaranya membabitkan perancangan jangka masa pendek dan panjang,” katanya kepada BH Online.

Awal bulan ini, FINAS mengumumkan 10 persatuan mewakili penggiat industri kandungan kreatif tempatan dipilih menyertai MyCAP.

Peruntukan disalurkan membolehkan setiap persatuan menganjurkan bengkel, kursus dan aktiviti khusus bagi meningkatkan kemahiran dan tahap profesionalisme ahli.

Setiap persatuan menerima peruntukan RM100,000 untuk mengendalikan pelbagai program meningkatkan modal insan ahli.

Ahmad Idham berkata, bersikap realistik, FINAS bagaimanapun sentiasa memantau perkembangan sektor industri kreatif pada era penularan pandemik COVID-19.

“Dalam kita bercita-cita hendak pergi Oscar, kita jangan lupa perancangan ‘quick win’. Perancangan ketika pandemik perlu ada. Disebabkan itulah, kami melancarkan Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri (PELAKSANA) bagi sektor kreatif,” katanya.

PELAKSANA bertujuan memperkasakan semula industri kreatif yang terjejas akibat penularan COVID-19. Antara langkah diambil adalah memperbanyakkan pemilikan hak cipta kandungan penerbit tempatan bagi menjana pendapatan masa depan.

Ahmad Idham berkata, FINAS mahu merancakkan industri perfileman dan melihat lebih banyak karya tempatan bersaing di pentas antarabangsa.

“Kita boleh tengok apa sahaja yang bergerak dalam industri kreatif di bawah FINAS hari ini adalah bagi mengutamakan usaha meningkatkan kualiti filem kita setanding dengan karya antarabangsa.

“Sebab kita tahu, kalau hendak memenangi anugerah antarabangsa, kita mesti meningkatkan kualiti filem kita,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Idham berkata, FINAS tidak menyekat penerbit filem menghantar karya mereka menyertai mana-mana festival filem antarabangsa.

Akuinya, perkara itu menjadi hak penerbit untuk menghantar karya ke mana-mana festival filem di seluruh dunia.

“Kami sudah memaklumkan sejak tahun lalu bahawa FINAS bekerjasama dengan persatuan penerbit filem bagi mengiktiraf festival filem bersesuaian.

“Sebanyak 34 festival filem yang diiktiraf FINAS sekarang. Senarai ini boleh berubah dari masa ke semasa. Kita berbuat demikian kerana memikirkan implikasi pada kemudian hari,” katanya.

Ahmad Idham berkata, pengiktirafan ke atas festival filem antarabangsa dibuat sebagai panduan bagi mengelak pertikaian atau salah faham peminat atas kejayaan pembikin filem.

“Kita tidak mahu apabila suatu hari nanti, pengkarya kita menang dalam festival filem yang besar, orang ramai mempertikaikannya dan menganggap kejayaan itu sama sahaja.

“Disebabkan itu FINAS perlu senaraikan festival filem yang diiktiraf. Kami memikirkan impak kepada industri filem secara keseluruhan.

“Namun, FINAS tiada isu jika penerbit mahu menghantar karya mereka ke mana-mana festival filem dunia,” katanya.

Antara festival filem antarabangsa yang diiktiraf FINAS adalah Festival Filem Antarabangsa Berlin; Festival Filem Antarabangsa Cannes: Festival Antarabangsa Toronto dan Festival Filem Antarabangsa Locarno.

Turut diiktiraf Festival Filem Antarabangsa Venice; Festival Filem Asia Casa; Festival Filem dan Anugerah Golden Horse serta Festival Filem Antarabangsa Shanghai.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat