Anak MB Perlis mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu lebih RM19,000

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Anak kepada Menteri Besar Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di Kangar hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu RM19,505.10 berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, pada Februari lalu.

Tertuduh, Mohd Syafeeq Mohd Shukri, 35, mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Syafeeq yang juga pemilik syarikat didapati dengan niat memperdayakan Nurul Nabilah Mohd Sukri yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Bahagian Pentadbiran Daerah di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dengan memberikan satu dokumen Pesanan Kerajaan (Bekalan/Perkhidmatan) Kerajaan Negeri Perlis bertarikh 14 Februari lalu berjumlah RM19,505.10 atas nama Mohd Farid Abdul Hamid.

Pemberian dokumen itu adalah berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Tuanku Raja Perlis di HTF yang didapati mempunyai butiran palsu.

Mohd Syafeeq melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kangar pada 19 Februari tahun ini, lapor BH Perlis pada Khamis.

Oleh itu, dia didapati melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Aktab694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butiran palsu yang palsu atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rehab Abdul Shukur manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fadhly Yaacob.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat