KUALA LUMPUR – Umno merasakan tiada kewajaran untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia mengambil mana-mana ahli di kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
Situasi itu wajar dielak agar tidak tercetusnya prasangka dan ketidakharmonian dalam kerajaan.
Setiausaha Agung Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan perkara itu usai Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang berlangsung malam tadi.
Kenyataan ini dipercayai mengulas tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang meninggalkan sekali gus melepaskan jawatan dalam Umno untuk menyertai PKR.
Perkembangan lain yang diperincikan dalam mesyuarat MKT Umno termasuk, MKT boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin parti selaras dengan Perlembagaan Umno Fasal 20.12.
Selain itu, Asyraf turut memaklumkan tarikh Perhimpunan Agung Umno 2025 telah dipersetujui untuk ditunda kepada 26 hingga 29 November 2025, mengambil kira persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Juga Umno merakamkan ucapan setinggi-tingginya penghargaan kepada Umno Negeri Terengganu dan Umno Perak kerana membantu segala pengurusan dan mengendalikan sumbangan kepada mangsa-mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik yang turut meragut nyawa 15 pelajar UPSI.
“Umno akan melaksanakan kajian separuh penggal keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan Malaysia termasuklah pencapaian kepimpinan Umno dalam anggota pentadbiran, agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan,” ujarnya.