Persaingan Lebih Baik Daripada Monopoli, Kos Juga Rendah – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Amalan monopoli tidak menguntungkan rakyat sebaliknya, persaingan perlu digalakkan kerana ia mampu menjamin keselesaan kepada rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan perlu mencari jalan tidak meneruskan monopoli kerana menyifatkan amalan itu tidak menguntungkan rakyat.

Jelas beliau persaingan perlu digalakkan kerana mampu menjamin keselesaan kepada rakyat secara umumnya di samping membantu ke arah pelaksanaan kos yang lebih rendah

“Saya setuju pada prinsipnya, amalan monopoli tidak boleh diteruskan. Sebab itu, kita cari jalan (tidak terus monopoli). Air, umpamanya tiada monopoli kerana di bawah negeri; tenaga dengan IPP (pengeluar tenaga bebas) dan dengan pengurusan sekarang pun, nampaknya mula dipecahkan.

“Begitu juga dengan lebuh raya, tidak semua yang dibuat kerajaan dahulu kepada PLUS (PLUS Malaysia Berhad), jadi ada persaingan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Anwar berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) sama ada monopoli lain oleh kerajaan seperti dalam bekalan elektrik, air dan lebuh raya serta sekolah amanah di bawah Kementerian Pendidikan akan dipecahkan dengan semangat memecahkan monopoli.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan, peraturan dan syarat ketat akan dikenakan kepada syarikat telekomunikasi bagi memastikan perkhidmatan 5G dapat diberikan kepada rakyat dengan lebih baik yang dikawal Kementerian Komunikasi dan Digital dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, sebarang pelanggaran syarat oleh syarikat telekomunikasi yang akan menjadi entiti penyedia rangkaian kedua perkhidmatan 5G melalui Digital Nasional Bhd. (DNB) akan menyebabkan perjanjian terbatal.

“Pengalaman kita puluhan tahun dengan syarikat telekomunikasi tidak sangat memberangsangkan. Pertamanya, isu ketersambungan dan keselesaan kepada pengguna, dan keduanya, soal kos serta bayaran (dikenakan) kepada pengguna.

“Sebab itu, dalam peraturan dan syarat ketat yang dikawal kementerian khususnya SKMM, hal ini diambil perhatian maknanya perjalanan 80 peratus (5G) yang awal dikendali dan dibiayai kerajaan itu akan ditanggung bersama oleh DNB dan syarikat telekomunikasi.

“Keduanya, syarat itu tidak boleh dilanggar. Kalau dilanggar, aspek perjanjian dengan syarikat ini akan terbatal. Sebab itu, dalam kes 4G sekarang ini, sangat tidak memuaskan kerana pengguna tidak mendapat manfaat walaupun syarikat mencatatkan keuntungan yang sangat besar,” katanya.

Terdahulu, Rodziah Ismail (PH-Ampang) bertanyakan kemungkinan keputusan kerajaan Persekutuan beralih daripada model Single Wholesale Network kepada Dual Network yang mengakibatkan beberapa kemudaratan seperti kemungkiran kontrak antarabangsa, pelanggaran tatakelola baik, risiko keselamatan siber, lonjakan implikasi kewangan kepada kerajaan dan kenaikan tarif 5G buat pengguna.

Mengakui sukar membuat keputusan mengenai peralihan rangkaian 5G berkenaan, Anwar berkata, kerajaan mendapat tekanan daripada pelbagai pihak yang mahu mengekalkan satu rangkaian dan tidak senang dengan sikap Malaysia yang lebih bebas untuk memilih sistem rangkaian yang dikehendaki.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan Jemaah Menteri itu adalah untuk kepentingan keselamatan negara dan kebebasan negara untuk memilih dengan syarat-syarat yang ketat.

Selain pembiayaan rangkaian kedua kelak akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta (telco), beliau berkata, syarat kedua yang ditetapkan adalah harga yang ditawarkan kepada pengguna mestilah pada kadar yang rendah seperti yang ditetapkan bawah peraturan DNB.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat