KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau tidak bersikap pesimis merujuk kepada hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Jelas Anwar, dalam pertemuan dan maklum balas yang beliau peroleh, termasuk dari Presiden Rusia Vladimir Putin, beliau berkeyakinan bahawa kedua-dua pihak masih waras dan mahu mengelakkan pertembungan.
“Meski wujud ketegangan geopolitik, khususnya melibat Taiwan, saya percaya ruang diplomasi dan rundingan masih terbuka luas.
“Justeru, kenyataannya jelas bahawa tidak siapa sebenarnya mahu perang.
“Malah, ketika era Trump sekalipun, saya dapati pendekatannya tidak mendorong kepada peperangan terbuka.
“Ini memperlihatkan bahawa meski retorik politik kadang kala keras, niat pemimpin utama dunia adalah untuk mengekalkan kestabilan dan mengelak bencana serta musibah yang akan merugikan semua pihak,” jelas Anwar lagi.
Tambahnya,sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau melihat keperluan untuk negara-negara membangun memainkan peranan sebagai suara penimbang tara.
“ASEAN dan negara-negara selatan global harus menjadi wahana untuk memperkukuh diplomasi, bukan medan-medan mempertonjol pengaruh kuasa besar.
“Kita perlu menzahirkan tindakan yang rasional, mengutamakan damai dan mendukung dialog bukan konflik,” tegas Anwar.



