HFMD Melonjak 14 Kali Ganda Di KL, Putrajaya

KUALA LUMPUR- Peningkatan sebanyak 14 kali ganda kes jangkitan Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di WP Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi tahun 2022 berbanding rekod tahun 2021 dikesan berpunca kerana jangkitan HFMD cepat menular terutamanya di kalangan kanak-kanak jika mereka mempunyai kontak dengan kanak-kanak yang telah dijangkiti wabak tersebut.

Susulan itu, Pengarah Kesihatan Negeri Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Nor’ Aishah Abu Bakar berkata, pihaknya ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD (iaitu ulser di mulut, ruam atau lepuh di tangan dan kaki) supaya tidak membawa anak ke tempat-tempat awam termasuk taska, tadika,sekolah
kerana ini akan merebakkan jangkitan.

Selain itu, beliau turut menasihatkan supaya membawa anak yang bergejala segera berjumpa doktor untuk rawatan dan nasihat juga menggunakan peralatan makanan dan minuman yang berasingan dan tidak
berkongsi barang-barang dengan anak yang lain.

“Bukan itu saja, pihak pengusaha taska/ tadika juga rumah pengasuh disarankan supaya melakukan saringan di pintu-pintu masuk (gate-keeping) bagi memastikan hanya kanakkanak tiada gejala HFMD memasuki premis dan berinteraksi dengan kanak-kanak lain.

“Manakala semua golongan masyarakat digalakkan untuk terus mengamalkan kebersihan diri dan mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air selepas ke tandas, selepas menukar lampin, selepas menyentuh, merawat ruam,lepuh jangkitan HFMD dan semasa mencuci najis kanak-kanak. Juga, memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.

“Lantai rumah terutamanya tandas hendaklah dibersihkan menggunakan disinfektan mengandungi chlorine-based,” kata Dr’ Nor Aishah dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, kes jangkitan HFMD terus menunjukkan peningkatan bermula pertengahan Mac 2022 sehingga ke hari ini.

Katanya, pada hari terakhir Minggu Epidemiologi (ME) 20/2022 (iaitu pada 21 Mei 2022), sejumlah 6,197 kes HFMD telah dilaporkan kepada JKWPKL dan Putrajaya telah menunjukkan peningkatan sebanyak 14 kali ganda berbanding pada tahun 2021 iaitu pada ME yang sama, hanya mencatat 403 kes.

“Manakala jumlah kes mingguan dilaporkan pada ME 20/22 adalah 1,163 kes berbanding 1,138 kes pada ME19/2022 iaitu terdapat peningkatan sebanyak 2.2 peratus.

“Sehingga ME 20/2022 sebanyak 408 wabak telah dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, berbanding ME yang sama pada tahun 2021 iaitu sebanyak 32 wabak, menunjukkan peningkatan sebanyak 12 kali ganda,” jelasnya.

Dr Nor’ Aishah juga memberitahu, kejadian kes HFMD dikategorikan sebagai wabak apabila berlaku dua atau lebih kes dalam tempoh inkubasi yang sama, dan di lokaliti yang sama.