Kem Zahid atau Ismail Sabri bakal penentu nasib UMNO tapi PN tak akan tumbang- Penganalisis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pertembungan antara kem Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hujung minggu ini bakal menentukan hala tuju dan nasib parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff berkata, mesyuarat MT UMNO itu juga sangat penting kepada semua pihak sama ada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) untuk mencatur strategi dan gerakan menjelang pilihan raya nanti.

“Oleh itu, siapa yang bakal menang, sama ada kem Zahid atau Ismail Sabri akan mencorakkan senario dan kesan paling besar untuk PRU15 kerana ia juga akan menentukan pihak mana yang akan menguasai parti, termasuk melalui pemilihan parti.

“(Pada) masa sama, kalaupun kem Zahid menang dan keputusan dibuat supaya Ahli Parlimen UMNO menarik diri daripada kerajaan secara serta-merta, kerajaan PN tetap tidak akan tumbang.

“Ini kerana faktor darurat yang sedang berkuat kuasa sekarang menjadikan sebarang tindakan penarikan diri Ahli Parlimen sekarang menjadi tidak bermakna sehinggalah berakhirnya tempoh pada Ogos nanti,” katanya memetik Astro Awani.

Sebelum ini, desas-desus Mesyuarat MT UMNO dijangka berlangsung hujung minggu ini dikatakan menjadi penentu kelangsungan parti itu menjelang PRU15.

Zahid juga difahamkan akan menangguhkan pemilihan parti itu semaksimum mungkin, sehingga 18 bulan.

Jika pemilihan UMNO ditangguhkan, pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru antara BN, PN dan PH dikatakan tidak mustahil berlaku.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman menjangkakan bahawa hanya sebahagian sahaja daripada Ahli Parlimen UMNO yang akan akur seandainya keputusan MT menarik sepenuhnya sokongan mereka kepada kerajaan PN.

“Terdapat juga kemungkinan yang tinggi bahawa sekiranya Ahli Parlimen UMNO menarik sepenuhnya sokongan mereka kepada kerajaan PN sekarang, maka akan muncul konfigurasi dan penjajaran baharu dalam dunia politik tanah air yang bakal menyaksikan Ahli Parlimen yang berada di luar daripada kerajaan PN sebelum ini menyertai mereka.

“Ini kerana perkara utama yang menghalang Ahli Parlimen ini daripada menyertai kerajaan PN adalah kewujudan Kluster Mahkamah UMNO, jadi bila kluster ini tiada, maka akan terbukalah ruang untuk mereka menyertainya.

“Dalam keadaan paling negatif sekalipun, di mana tiada Ahli Parlimen yang berada di luar daripada kerajaan PN sebelum ini menyertai kerajaan PN, ia dijangka masih boleh bertahan sebagai kerajaan minoriti kerana ketiadaan mana-mana pihak lain yang mampu memperolehi kerusi melebihi kerusi milik kerajaan PN,” ujarnya.

Oleh itu tegasnya, MT UMNO dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam membuat apa-apa keputusan politik yang besar dan seboleh-bolehnya hendaklah mengasaskannya kepada kajian terperinci terlebih dahulu bagi memastikan ia tidak ‘menikam’ semula parti itu pada masa akan datang. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat