Arab Saudi usir atase tentera Iran, ketegangan perang Teluk makin memuncak

RIYADH, – Arab Saudi mengarahkan atase tentera Iran bersama beberapa pegawai kedutaan negara itu meninggalkan kerajaan tersebut dalam tempoh 24 jam, susulan siri serangan dron dan peluru berpandu yang didakwa dilakukan Tehran terhadap wilayahnya.

Kementerian Luar Arab Saudi dalam kenyataan rasmi memaklumkan bahawa atase tentera Kedutaan Republik Islam Iran, penolong atase tentera serta tiga kakitangan misi diplomatik telah diisytiharkan sebagai persona non grata.

Langkah tegas itu diambil selepas Riyadh menuduh Iran melakukan “serangan berulang” yang mengancam keselamatan negara serta kemudahan tenaga strategik.

Tindakan diplomatik tersebut berlaku ketika konflik berskala besar melibatkan Amerika Syarikat dan Israel menentang Iran terus memuncak, sekali gus mencetuskan serangan balas Tehran terhadap negara-negara Teluk yang menjadi tuan rumah aset ketenteraan Barat.

Serangan tersebut menyasarkan kawasan awam dan kemudahan minyak, menyebabkan gangguan serius terhadap pasaran tenaga global.

Pihak berkuasa Arab Saudi mendakwa ratusan peluru berpandu dan dron telah dilancarkan ke arah negara itu sejak perang tercetus, walaupun majoriti serangan berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara.

Antara sasaran utama ialah kemudahan tenaga di wilayah timur serta ibu negara Riyadh, termasuk insiden dua dron yang dilaporkan mengenai kawasan berhampiran kompleks Kedutaan Amerika Syarikat awal bulan ini.

Ketegangan semakin meningkat apabila operasi pemuatan minyak di pelabuhan Yanbu di Laut Merah turut terganggu selepas sebuah dron jatuh berhampiran loji penapisan SAMREF milik kerjasama Aramco-Exxon.

Pelabuhan tersebut kini menjadi laluan eksport utama Arab Saudi berikutan laluan kapal tangki di Selat Hormuz dilaporkan terjejas akibat tindakan Iran menyekat trafik perkapalan.

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud, sebelum ini menegaskan bahawa kepercayaan terhadap Iran telah “musnah sepenuhnya” dan menegaskan hak negara itu untuk mempertahankan diri.

Beliau turut memberi amaran bahawa negara-negara Teluk memiliki keupayaan ketenteraan signifikan yang boleh digerakkan sekiranya keadaan terus meruncing.

Hubungan Arab Saudi dan Iran sememangnya lama tegang, namun kedua-dua negara pernah memulihkan hubungan diplomatik melalui perjanjian yang dimeterai dengan pengantaraan China sekitar tiga tahun lalu.

Perkembangan terbaharu ini dilihat berpotensi meranapkan usaha normalisasi tersebut.

Dalam kenyataan sama, Riyadh memberi amaran bahawa sebarang serangan lanjutan oleh Iran akan membawa implikasi besar terhadap hubungan semasa dan masa depan antara kedua-dua negara.

Tindakan Arab Saudi itu turut menyusul langkah Qatar yang sebelum ini mengusir atase tentera dan keselamatan Iran di Doha, menandakan tekanan diplomatik terhadap Tehran semakin meningkat di rantau Teluk.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat