KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Bahagian Puchong dan Padang Terap secara terbuka mencadangkan agar Barisan Nasional menilai semula kedudukan serta mempertimbangkan penarikan diri daripada Kerajaan Perpaduan susulan kenyataan sinis dan provokatif Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin, berhubung isu penahanan rumah melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Puchong, Khairul Azmil bin Bashir Mohamed, berkata hantaran media sosial Yeo Bee Yin yang didakwa meraikan kegagalan permohonan tahanan rumah itu adalah tidak sensitif, angkuh, biadab dan bersifat provokatif.
“Tindakan YB Yeo Bee Yin merupakan satu penghinaan terbuka terhadap UMNO dan Barisan Nasional. UMNO dan BN telah menunjukkan jiwa besar, berkorban dan berkompromi demi kestabilan politik negara. Tanpa UMNO dan BN, Kerajaan Perpaduan tidak akan wujud hari ini,” tegas beliau.
Menurutnya, isu yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah isu sensitif yang tidak wajar dijadikan bahan ejekan politik atau medan provokasi terbuka, lebih-lebih lagi oleh seorang Ahli Parlimen dari kawasan yang sama.
Nada yang sama turut dizahirkan oleh Ketua Pemuda UMNO Padang Terap, Jasnizam Husni, yang menyelar keras kenyataan Yeo Bee Yin berunsur sindiran seperti “Another reason to celebrate this year end”.
“Kenyataan berbentuk ejekan ini jelas menunjukkan sikap angkuh, tidak berperikemanusiaan dan gagal menghormati prinsip keadilan serta sensitiviti masyarakat Malaysia. Proses undang-undang tidak sepatutnya dijadikan bahan perayaan politik, apatah lagi apabila melibatkan seorang bekas Perdana Menteri yang telah banyak berjasa kepada negara,” katanya.
Jasnizam menegaskan, sebagai seorang wakil rakyat, Yeo Bee Yin seharusnya mempamerkan kematangan, empati dan tanggungjawab moral, bukannya mempersendakan proses keadilan demi kepentingan politik sempit.
“Tindakan ini bukan sahaja mencerminkan keperibadian yang cetek, malah memperlihatkan sikap DAP yang terus bermain politik kebencian dan dendam terhadap pihak lawan,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa kenyataan sedemikian menimbulkan persoalan besar terhadap keikhlasan rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Barisan Nasional tidak boleh terus diperlakukan seolah-olah tiada maruah — diperlukan apabila menguntungkan pihak tertentu, tetapi dihina secara terbuka oleh pemimpin parti rakan sendiri,” tegasnya.
Sehubungan itu, kedua-dua sayap Pemuda UMNO berpandangan bahawa Barisan Nasional perlu berani membuat penilaian semula secara serius terhadap kedudukan dalam kerajaan sedia ada.
“Jika sikap angkuh, penghinaan terbuka dan kegagalan menjaga sensitiviti ini berterusan, lebih baik Barisan Nasional berdiri dengan prinsip dan suara rakyat daripada terus bersama dalam sebuah kerajaan yang gagal menghormati semangat setiakawan dan prinsip keadilan,” kata Jasnizam.
Pemuda UMNO Puchong pula menegaskan bahawa kesabaran UMNO bukan tanpa batas.
“Kerjasama tidak bermakna tunduk. UMNO tidak gentar berdepan tekanan apabila maruah parti dan amanah penyokong di akar umbi dicemari,” tegas Khairul Azmil.



