TUDM Dalam Proses Dapatkan 33 Pesawat Tempur Dari Kuwait

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini dalam proses mendapatkan 33 unit pesawat tempur milik Kuwait,” kata, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Jelas beliau, TUDM telah merangka program peningkatan keupayaan pesawat tempur F/A-18D, kini dalam usaha inisiatif mendapatkan pesawat tempur milik Kuwait.

Ikmal Hisham berkata, perancangan ini dinyatakan jelas dalam pelan strategik TUDM (CAP55 – Fasa 1) dengan perolehan yang dirancang adalah berbentuk secara keseluruhan (Lock, Stock and Barrel) sebanyak 33 buah pesawat F/A-18 C/D Tentera Udara Kuwait yang masih dalam keadaan baik.

Menurut beliau pesawat berkenaan juga mempunyai waktu jam operasi yang rendah, berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.

Ikmal Hisham memberitahu kerajaan Kuwait dijangka akan melucut tauliahkan pesawat F/A-18C/D setelah menerima dan mengoperasikan pesawat terbaharu F/A-18E/F (Super Hornet) yang lebih moden yang kini dalam proses penghantaran oleh syarikat Boeing dari Amerika Syarikat.

“Namun, inisiatif ini masih menunggu perbincangan di antara kedua buah negara. Jika inisiatif ini berjaya direalisasikan, sudah pasti akan meningkatkan tahap kesiagaan dan keupayaan TUDM menjaga ruang angkasa negara,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Zaiedi Suhaili di Dewan Negara, pada Rabu.

Menjawab soalan lisan asal, Ikmal Hisham berkata mengikut Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM (CAP55), TUDM berhasrat menggunakan pesawat tempur F/A-18D sehingga tahun 2035.

Sehubungan itu, katanya TUDM merancang program peningkatan keupayaan pesawat tempur F/A-18D yang dijangkakan bermula pada tahun 2022 bagi memastikan kesiagaan pesawat ini kekal relevan.

“Kementerian Pertahanan juga mengemukakan permohonan peruntukan bagi program ini kepada Kementerian Kewangan pada tahun ini. Pesawat tempur Su-30 MKM pula sedang melalui program peningkatan keupayaan,” katanya.

Berhubung pemodenan pesawat latihan TUDM untuk tahun 2022 yang terdiri daripada pesawat latihan sayap kaku jenis PC 7 dan pesawat latihan helikopter jenis EC120, katanya ketika ini tiada perancangan berbuat demikian kerana kedua-dua jenis pesawat berkenaan masih relevan untuk tujuan latihan.

Katanya, pesawat latihan sedia ada akan terus digunakan seperti yang digariskan dalam CAP55.

Sementara itu, katanya TUDM memandang serius ancaman pencerobohan ruang udara negara dengan setiap penerbangan di ruang udara negara dipantau dan direkodkan melalui radar pertahanan udara sepanjang masa oleh Pusat Kawalan dan Laporan 1 (CRC 1) di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang dan CRC 2 di Kota Samarahan, Kuching, Sarawak.

Bagi meningkatkan keupayaan sistem radar pertahanan udara TUDM, katanya kementerian akan melaksanakan pelan perolehan bagi Sistem Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh (LRR) yang akan dilaksanakan secara berperingkat selari dengan rancangan pembangunan lima tahun Malaysia bermula pada Rancangan Malaysia Ke-12.

Katanya, perancangan ini seiring dengan penerimaan pesawat FLIT-LCA dan tiga pesawat tanpa pemandu yang bakal diterima mulai tahun 2024 yang akan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan dan Labuan.