PM, TNB Bagi Jaminan Bekalan Elektrik Kawasan Banjir Disambung Secepat Mungkin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bekalan elektrik akan disambung secepat mungkin apabila banjir di kawasan terjejas mulai surut.

“Saya memberi jaminan, bekalan elektrik akan disambung sesegera mungkin apabila banjir mulai surut, kerja-kerja pembersihan dilakukan serta tiada kerosakan besar pada pencawang,” ciap beliau di Twitter pada Rabu.

Kata Ismail Sabri, lebih 350 kawasan di Lembah Klang terputus bekalan elektrik ekoran banjir dan atas faktor keselamatan awam, TNB terpaksa memutuskan bekalan elektrik buat sementara waktu kerana paras air masih berbahaya.

“Litar pintas boleh berlaku dan boleh menyebabkan kebakaran.

“Disebabkan masih ada kawasan yang ditenggelami banjir, TNB terpaksa menangguhkan penyambungan bekalan elektrik ke kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Ciapan Perdana Menteri mendapat maklum balas daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

TNB mengambil serius perkara ini dan sedang bertungkus lumus memulihkan infrastruktur bekalan elektrik kepada pengguna yang terjejas akibat banjir.

“Keselamatan pengguna sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam usaha pemulihan bekalan ini, yang sedang giat dijalankan secepat mungkin,” jelas respons balas TNB.