KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas didakwa tidak mampu berjihad melawan rasuah sekali gus dinasihatkan untuk menguburkan angan-angan merebut jawatan Perdana Menteri jika gabungan Perikatan Nasional (PN) menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Datuk Zaid Ibrahim.
Bekas Menteri Undang-undang itu sebaliknya menegaskan negara memerlukan seorang pemimpin yang berani membanteras rasuah dan beliau mendakwa pimpinan parti Islam berkenaan tidak mampu berbuat demikian.
“Mereka hanya akan mengejar sasaran yang mudah seperti kedai 4D, pusat urut, kedai arak dan kedai babi Cina. Serta panggung wayang yang tidak memasang lampu,” katanya dalam catatan di X pada Jumaat.
Zaid yang juga pengamal undang-undang berkata walaupun terdapat ramai pemimpin Pas yang berkelayakan untuk menjadi Perdana Menteri namun mereka tidak sesuai atau tidak mempunyai peluang untuk menang.
Mempertahankan hujahnya Zaid berkata, Pas adalah parti yang hanya berupaya menarik sokongan orang Melayu di utara Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Ramai pemimpin Pas yang layak, tetapi adakah mereka sesuai dan boleh menang? Jawapannya ialah tidak, tidak, tidak.
“Mereka tidak mendapat sokongan di tempat lain. Jadi, tidak berfaedah bagi Pas untuk bermimpi menjadi Perdana Menteri.
“Melainkan, sudah tentu, Pas bersedia untuk mengambil tindakan keras terhadap penjawat awam yang rasuah,” tegas beliau.
Mengulas lanjut, Zaid juga mendakwa tiada pemimpin semasa yang bersedia untuk menentang kartel-kartel.
“Kartel beras, baja, pekerja asing, penyeludupan rokok dan manusia, minyak masak, pekerja migran dan mereka yang mengeluarkan AP yang tidak perlu untuk keuntungan segera.
“Individu yang layak mendapat sokongan sebagai PM itu orang yang bersedia menangani rasuah sebenar, bukan indeks persepsi rasuah.
“Untuk itu, kita perlu menangani penjawat awam yang rasuah. Di negara kita, kita telah menghantar Perdana Meneteri dan ahli politik atasan ke penjara, tetapi adakah kita melakukan perkara yang sama kepada penjawat awam yang tertinggi? Tidak. Kita memindahkan mereka ke jabatan lain.
“Hentikan pengeluaran AP untuk pelbagai perniagaan dan perdagangan hamba dan dakwa penyalahguna di mahkamah bukannya memindahkan mereka ke jabatan lain,” katanya lagi.
Bukan cuma itu, Zaid juga mendakwa Malaysia mempunyai terlalu banyak “sida-sida politik” yang menghalang pembasmian rasuah.
“Kita ada jihad terhadap khalwat tetapi tidak terhadap pentadbir yang rasuah,” ujar beliau.
Zaid membuat komentari susulan kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin berkata Pas lebih layak menerajui PN.
Hashim juga menafikan Pas menamakan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri tunggal untuk PN.