KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun menganggap penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mewajibkan pemilik perniagaan mempamerkan papan tanda berbahasa Melayu mengikut peraturan papan tanda komersial bersifat tergesa-gesa.
Justeru beliau melahirkan kebimbangan sambil menegaskan tindakan keras itu sebagai terlalu tergesa-gesa dan mengganggu, terutama di bandar berbilang budaya dan antarabangsa seperti Kuala Lumpur.
Kui Lun berkata penguatkuasaan yang berlebihan terhadap dasar ini bukan sahaja mengganggu perniagaan tetapi juga boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi bandar, khususnya sektor pelancongannya.
Menurut beliau lagi, Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia, merupakan destinasi utama bagi pelancong dari China, Eropah, Timur Tengah dan wilayah lain.
“Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan budaya, Malaysia harus menghargai dan menerima kepelbagaian budaya dan bahasa.
“Membenarkan perniagaan menggunakan papan tanda berbilang bahasa di Kuala Lumpur bukan sahaja memenuhi keperluan pelancong dari pelbagai negara tetapi juga menyerlahkan daya tarikan unik bandar itu sebagai metropolis antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Reaksi beliau ini susulan DBKL memberikan selama 14 hari kepada lima pemilik premis terlibat untuk menurunkan papan iklan tulisan Cina sekitar Jalan Imbi di ibu negara.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, didapati kesemua premis itu melanggar Undang-undang Kecil Iklan (WP) 1982 dengan meminggirkan bahasa kebangsaan di papan iklan mereka.
Menurut DBKL lagi, walaupun peraturan itu sudah lama diperkenalkan, namun masih terdapat premis sekitar Bukit Bintang itu tidak mengendahkan penetapan itu.
Sebelum itu, seorang pengguna TikTok sebelum ini mendedahkan banyak premis sekitar Jalan Imbi, Bukit Bintang dimeriahkan dengan papan tanda tulisan Cina seolah tidak menghormati bahasa kebangsaan.
Mengulas lanjut Kui Lun berkata, Kuala Lumpur menjadi rumah kepada banyak tradisi papan tanda yang ikonik dan berusia selama berabad-abad.
“Tanda tradisional ini bukan sahaja pengecam komersial tetapi juga simbol warisan sejarah dan budaya bandar itu,” jelasnya.
Kui Lun berkata untuk menghormati status rasmi bahasa Melayu sambil mengekalkan kekayaan budaya Kuala Lumpur, maka DBKL perlu menggunakan pendekatan yang lebih fleksibel.
Dia mencadangkan perniagaan yang sudah lama bertapak harus dibenarkan mengekalkan papan tanda asal mereka sambil menambah papan tanda bahasa Melayu, sekali gus mengimbangi tradisi budaya dengan keperluan moden.
Kui Lun menggesa DBKL menghentikan tindakan penguatkuasaan yang keterlaluan buat sementara waktu dan mencadangkan untuk melibatkan semua ahli parlimen Kuala Lumpur membincangkan penyelesaian yang lebih baik.
Katanya penghormatan terhadap bahasa Melayu mesti diangkat sambil menjaga mata pencarian perniagaan dan imej antarabangsa Kuala Lumpur.
Kui Lun percaya komunikasi dan perundingan yang berkesan boleh membawa kepada penyelesaian menang-menang yang mengekalkan maruah bahasa kebangsaan, melindungi kebebasan pemilik perniagaan dan menyokong pembangunan berterusan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya global.
Kui Lun menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan kepelbagaian bandar dan pertumbuhan ekonomi dalam melaksanakan dasar.
Dia menggesa pendekatan yang rasional terhadap isu ini dan penyelesaian yang lebih munasabah dan boleh dilaksanakan untuk menyokong kedua-dua Kuala Lumpur dan komuniti perniagaannya.
Dalam perkembangan sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan kekecewaan dan kebimbangannya terhadap penggunaan meluas tulisan Cina di sebuah kompleks beli-belah Kuala Lumpur, yang menurutnya memberi kesan kepada identiti kebangsaan.