KUALA LUMPUR – Pemilihan Bersatu tidak kotor, sebaliknya ia cuba dikotorkan oleh segelintir pemimpin seperti Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang kononnya bersih, suci dan bijak disebalik jargon-jargon beliau.
Ketua Armada Bersatu Batu Gajah Nadhir Zuhair Nozi menegaskan, bahawa dakwaan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal kononnya wujud manipulasi dan ‘silap mata’ dalam pemilihan Armada tahun lalu adalah berniat jahat dan jelas bertujuan untuk mencemar imej parti.
“Barang diingat, Wan Ahmad Fayhsal digantung keanggotaannya hari ini kerana kes fitnah yang dilemparkan beliau terhadap kepimpinan parti berhubung politik wang ketika pemilihan parti.
“Walhal, ianya jelas satu pembohongan. Sebab itu, beliau mengelak untuk hadir menghadap Lembaga Disiplin sebanyak 4 kali atas pelbagai alasan remeh.
“Beliau juga mempunyai satu lagi pertuduhan di Lembaga Disiplin berhubung memalsukan tandatangan Ketua-Ketua Cawangan di Bahagian Machang.
“Malu dengan jumlah hanya 26 undi yang diperolehi dalam pemilihan Ketua Bahagian Machang, beliau sanggup memalsukan tandatangan tanpa pengetahuan ketua-ketua cawangan,” dakwa Nadhir Zuhair dalam kenyataan pada Rabu.
Susulan dakwan itu beliau menuntut Lembaga Disiplin wajib menyegerakan kes ini yang jelas tindakan jahat, pembohongan dan jenayah.
“Kini, Wan Ahmad Fayhsal mengambil sikap ‘play victim’ dengan membuat pernyataan untuk mengkritik dan merosakkan nama baik Bersatu.
“Jelas, beliau adalah ‘trojan horse’ sebenar yang sedang bekerjasama dengan pihak musuh.
“Cukuplah bermain dengan sentimen seperti ini. Bila kamu menang dalam pemilihan Armada yang lalu, semuanya betul belaka.
“Bila kamu kalah, semua dikatakan salah. Walhal pembohong itu kamu sendiri. Armada Batu Gajah menyeru semua ahli Bersatu supaya terus memperkukuhkan kesatuan dan menolak mana-mana pemimpin yang cuba mengadu domba untuk memecah belahkan parti.
“Kita harus fokus terhadap usaha pengukuhan PN dan memenangi hati rakyat. Ingatlah, perjuangan ini bukan untuk individu, tetapi untuk bangsa dan negara,” seru beliau.



