Pilih Presiden Dari Angkasa

- Advertisement -

Washington: Empat angkasawan Amerika Syarikat (AS) dijangka mengundi calon pilihan presiden negara mereka dari angkasa lepas.

Ia memandangkan mereka berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) ketika hari pengundian Pilihan Raya Presiden AS, 3 November ini.

Antaranya, Kate Rubins yang berlepas ke ISS dengan menaiki roket Rusia, Soyuz, bersama-sama dengan dua angkasawan Rusia, pada 14 Oktober lalu.

Ia bakal disusuli oleh tiga lagi angkasawan AS, Mike Hopkins, Victor Glover, dan Shannon Walker yang akan menaiki roket SpaceX, pada 31 Oktober ini.

Dalam misi kedua itu, angkasawan AS turut disertai oleh angkasawan Jepun, Soichi Noguchi.

“Kami semua merancang untuk memilih (presiden) dari angkasa,” kata Walker.

Portal EN24 News berkata, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas AS (Nasa) bekerjasama dengan badan pilihan raya bagi membolehkan angkasawan mengundi.

Rubins berkata, beliau akan mengundi dari ISS menggunakan kaedah undi pos.

Kaedah itu menjadi pilihan jutaan penduduk AS yang bakal mengundi berikutan kebimbangan penularan pandemik Covid-19.

Media melaporkan kaedah undi pos yang dilakukan oleh angkasawan bagaimanapun berbeza dengan kaedah undi pos biasa.

Angkasawan itu perlu mendaftarkan diri sebagai pengundi di Texas bagi melayakkan mereka mengundi dari angkasa lepas.

Texas adalah lokasi yang menempatkan Pusat Angkasa Lepas Johnson Houston yang menjadi pangkalan operasi Nasa.

Ia berikutan terdapat peruntukan khas dalam undang-undang pilihan raya di negeri itu yang membenarkan seseorang mengundi dari ISS.

Lazimnya, angkasawan akan menerima kertas undi secara elektronik.

Mereka menerima kod khas yang membolehkan mereka mengundi, sebelum kertas undi itu dikirimkan menerusi e-mel ke bumi.

Kertas undi berkenaan kemudian akan dihantar kepada pusat penjumlahan undi daerah.

Apa yang menariknya, angkasawan akan menulis ‘orbit bumi rendah’ sebagai alamat di dalam kertas undi berkenaan.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan ini bukan pertama kali angkasawan AS mengundi pada pilihan raya presiden dari angkasa lepas.

Ia memandangkan AS sudah menghantar angkasawannya untuk berada di ISS sejak 20 tahun lalu.

Kebiasaannya, setiap angkasawan berkenaan akan tinggal di stesen itu untuk tempoh selama enam bulan.

Pada pilihan raya presiden kali ini, Presiden Donald Trump yang mewakili Parti Republikan akan dicabar oleh pesaingnya, calon Parti Demokrat, Joe Biden – Harian Metro

author avatar
Nur'ain Musa
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat