KUALA LUMPUR – Daripada bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan lebih baik bubar Parlimen terus.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari berkata, selepas Parlimen dibubar untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan membawa kepada pelantikan Perdana Menteri baharu yang dijangka dapat menyelesaikan kemelut kronik di Negeri Sembilan.
“Tiada gunanya bubar DUN Negeri Sembilan kerana rakyat di negeri itu telah menolak Pakatan Harapan (PH) secara total.
“Untuk apa bubar DUN Negeri Sembilan jika PH ditolak sekali lagi dan berulang pula kemelut hari ini. Sakit kepala tapi makan ubat demam buat apa?
“Kamu juga yang bubar DUN Negeri Sembilan sebelum ini walhal tidak cukup usia DUN tempoh matang 3 tahun. Hari ini kamu desak pula bubar DUN Negeri Sembilan apa faedahnya?
“Daripada bubar DUN Negeri Sembilan lebih baik bubar Parlimen terus. Perdana Menteri baru nanti akan mainkan peranan lebih baik dalam menyelesaikan kemelut di N9.
“Hentikan Guru,” seru Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Fadhli berkata demikian sebagai reaksi kepada desakan Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil supaya Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim, menyembah mohon pembubaran DUN susulan pertembungan antara eksekutif dan istana yang belum berpenghujung.
Faiz berkata, keadaan yang berlaku sekarang adalah bertentangan dengan roh dan prinsip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Amanah percaya bahawa pergolakan politik yang gagal diuruskan dengan baik oleh Umno boleh menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Amanah turut menyifatkan pergolakan politik yang berlaku sekarang mencapai tahap kronik apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menarik balik perkenan baginda dan membatalkan perlantikan semua exco yang baru saja dilantik.



