Sanusi dakwa RM13 juta dipindah ke akaun Kanada semasa Mukhriz jadi MB, Mukhriz anggap tuduhan serius :laporan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mendedahkan, berlaku pemindahan wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah berjumlah RM13 juta ke satu akaun di luar negara ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi Menteri Besar sebelum ini.

Memetik Utusan, menurut Sanusi, pemindahan wang tersebut telah dibuat ke dalam akaun berkenaan yang berpangkalan di Kanada.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan pemilik akaun tersebut dan tujuan wang itu dipindahkan ke luar negara walaupun mendakwa masih menyimpan slip bank berkaitan perkara berkenaan.

“Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Mukhriz sebut mengenai mengungkit hal lama. Rasanya saya tak ungkit hal lama dan bila beliau bangkitkan satu perkara, baru saya jawab.

“Ada hal lama pemindahan wang MBI RM13 juta ke satu akaun luar negara di Kanada. Saya tak pernah sebut kepada sesiapa pun dan hari ini baru sebut,” katanya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, semalam.

Tambahnya, jika beliau benar-benar hendak mengungkit hal lama, masih banyak lagi perkara yang boleh diungkitnya.

Malah beliau turut menempelak Mukhriz yang didakwa kelilingi ‘punah sihat’ dan bukannya penasihat seperti dinyatakan ADUN Jitra itu ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Kedah dalam Sidang DUN berkenaan.

“Bila saya jadi kerajaan, dibawa dalam mesyuarat Exco untuk bayar satu perbelanjaan yang dibuat penasihat Menteri Besar pada masa itu untuk bekalkan kuih raya. Kuih raya itu saya dapati harga begnya lebih mahal dari kuih hingga menyebabkan kita terpaksa bayar hingga RM1.3 juta.

“Saya katakan sebenarnya beliau bukan dikelilingi penasihat tetapi dikelilingi ‘punah sihat’. Sebab itu kena bayar harga RM1.3 juta dengan harga beg lagi mahal daripada kuih,” katanya.

Justeru beliau dalam nada sinis turut menasihatkan agar mana-mana pihak untuk tidak membaling batu ke rumah orang sekiranya rumah sendiri dibina daripada kaca.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menganggap dakwaan kononnya berlaku pemindahan wang sebanyak RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke Kanada seperti yang ditimbulkan Sanusi merupakan satu tuduhan serius.

ADUN Jitra itu berkata, beliau berharap satu kenyataan rasmi dapat dikeluarkan berhubung perkara itu yang didakwa berlaku ketika dirinya menjadi Menteri Besar sebelum ini.

“Kita harap boleh dapat kenyataan rasmi kerana beliau tidak sepatutnya melontarkan dakyah atau tohmahan begitu saja seolah-olah ‘langgar dan lari’.

“Dakwaan itu perlu dibuktikan dengan saya pun tak tahu apa ceritanya. Saya menantikan kenyataan rasmi mengenai tuduhan dibangkitkan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, semalam.

Terdahulu, Sanusi menerusi sidang akhbar selepas selesai persidangan DUN hari ini mendakwa masih menyimpan slip bank berkaitan pemindahan wang tersebut.

Mukhriz menambah, jika Sanusi percaya perkara itu benar-benar berlaku, beliau sepatutnya membuat laporan polis.

“Ini kali pertama saya dengar tentang kejadian itu. Jadi saya ingin sarankan Sanusi untuk buat laporan polis kalau beliau benar-benar percaya benda itu berlaku.

“Dalam Sidang DUN hari ini, baru beliau (Sanusi) ditegur agar berhati-hati beri kenyataan. Jadi apabila beliau buat kenyataan begitu dalam sidang akhbar, itu satu dakwaan serius,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat