KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan Akta Hasutan 1948 tidak mengambil kira niat seseorang ketika melafazkan sesuatu kenyataan sensitif kerana apabila disiasat di bawah akta itu ia dianggap sebagai berlaku.
Menurut Azalina Akta Hasutan berada pada tahap tertinggi maka penjelasan niat seseorang itu bergantung kepada siasatan pihak polis.
“Sekarang polis akan siasat (Tan Sri Muhyiddin Yassin), isu dia ialah pada saya kalau disiasat di bawah Akta Hasutan pada saya Akta Hasutan tu ialah satu undang-undang yang sangat tinggi dia punya threshold (tahap).
“Bagaimana kamu nak jelaskan apakah niat kamu? Adakah niat dilihat sebagai pembelaan dalam Akta Hasutan? Itu bergantung kepada polis lah. Saya sebagai menteri undang-undang hanya throwing out the question, saya tak buat keputusan.
“Macam niat ni saya tak boleh jawab, orang yang lafaz tu saja yang tahu apa niat dia. Tapi saya dah bagi sedikit pandangan undang-undang di bawah Akta Hasutan, elemen niat itu tak dikira sangat.
“Ia dipertimbang, maknanya dianggap sebagai berlaku maka pembelaan tu treshold tinggi. Maka bila pihak berkuasa siasat adakah melanggar atau tidak,” jelas Azalina ketika sidang media pada Khamis.
Azalina berkata demikian mengulas isu membabitkan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kepada polis bahawa tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan beliau di pentas kempen di Nenggiri yang menghina Raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu.
Muhyiddin sebaliknya menegaskan beliau sekadar menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun (SD) ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.
Presiden Bersatu itu mempertahankan kenyataannya yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong ke-16 sebelum ini tidak mengundangnya untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun mempunyai sokongan cukup ahli Parlimen.
Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di Istana Negara pasca PRU-15.
“Dalam kes ini kami dipanggil Agong, Agong kena puas hati dalam perkara ini, ia adalah budi bicara Agong.
“Saya tengok Agong dalam situasi berapa banyak kerajaan ditukar, dia tanya kami setiap seorang.
“Baginda nak sangat menjaga supaya dia tidak melebihi kuasa yang diberi pada dia,” katanya lagi.
Azalina bagaimanapun mencadangkan Muhyiddin agar bertindak ‘gentleman’ supaya lawan pada Pilihan Raya Umum akan datang jika benar mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
“Gentlemanlah, lawanlah masa PRU.
” Tinggal tiga tahun, lawan je lah. Tidak ada masalah ini demokrasi,” ujarnya.