‘Tiada kompromi jenaka babit isu agama’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon ‘otai’, Abon mendakwa pernah digam penyiar gara-gara enggan berkompromi dengan jenaka yang membabitkan isu agama.

Mengenang kembali insiden itu, biarpun periuk nasinya terjejas disebabkan ketegasan mempertahankan prinsip diri, Abon tidak kisah ‘hukuman’ dikenakan demi kesucian agama Islam.

Sehubungan itu, Abon atau nama sebenar, Shafizan Ahmad, 61, hairan dengan sikap segelintir orang Islam yang tidak sensitif dengan kandungan lawak jenaka, terutama menyentuh soal agama.

“Saya pernah tegur seorang pelawak ketika kami berlakon dalam sebuah program TV. Dia membawa watak seorang lelaki yang berpura-pura alim kerana mahu berjumpa bapa kekasihnya.

“Untuk menimbulkan unsur lawak, dia menyebut zikir dengan cara berjenaka.

“Disebabkan tidak selesa dengan cara dia mempermainkan zikir itu, saya secara spontan menyuruh dia berhenti walaupun ketika itu, rakaman sedang dijalankan.

“Biarpun dia beri alasan itu hanyalah cara dia berjenaka, bagi saya, apa yang dibuatnya salah dan saya tidak mahu bersubahat.

“Mungkin disebabkan kelantangan dan ketegasan saya enggan bertolak ansur dengan jenaka berunsur agama, akhirnya saya digam,” katanya kepada BH Online.

 

Sebagai senior dalam dunia jenaka, Abon menasihatkan pelawak menggunakan kewarasan akal sebelum beraksi. – NSTP/Aziah Azmee

 

Abon mengulas isu lawak menghina agama yang kecoh, baru-baru ini.

Sebagai senior dalam dunia jenaka, pelakon sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu ini menasihatkan pelawak menggunakan kewarasan akal sebelum beraksi.

“Jadi pelawak biarlah berilmu, bukannya main ‘belasah’ tanpa memikirkan soal hukum-hakam dan sensitiviti masyarakat.

“Usah jadikan lawak sebagai lesen persendakan agama. Perkataan lawak kalau kita terbalikkan, ejaannya menjadi kawal. Maknanya, kita kenalah kawal apa yang hendak kita sampaikan kepada penonton.

“Saya kalau hendak buat lawak mengenai agama, memang boleh. Saya ada tiga lori lawak jenaka mengenai agama yang boleh saya kongsikan.

“Tapi nak buat apa? Tak perlulah tambah dosa yang sudah ada,” katanya ditemui pada sidang media Mini Konsert Malam Mas Mona bersama Datuk Jeffrydin di Ampang, kelmarin

Persembahan yang bakal berlangsung di Ballroom GBH pada 30 Julai ini turut menampilkan penyanyi yang popular dengan lagu Dara Pujaan, Datuk L Ramli dan penyanyi kumpulan Siglap 5, S Mariam.

Abon bertindak sebagai pengacara, manakala penyanyi diiringi kumpulan The Zurah 3.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat