‘Harta bukan ukuran kasih sayang’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dua penyanyi popular, Shila Amzah dan Liza Hanim berusaha membahagiakan orang tua sebelum mereka pejam mata.

Shila dan Liza berpendapat, tiada istilah pengorbanan daripada seorang yang bergelar anak.

Liza berkata, ini kerana apa sahaja kebaikan dilakukan terhadap ibu bapa adalah menjadi tanggungjawab seorang anak.

“Tiada istilah berkorban bagi seorang anak. Lagipun, apalah sangat pengorbanan anak jika nak dibandingkan dengan apa yang dikorban oleh orang tua.

“Bagi saya, apa sahaja kebaikan yang dilakukan terhadap orang tua, ia adalah satu tanggungjawab. Walaupun cuba untuk memenuhi segala kehendak mereka, namun, itu belum tentu cukup untuk kita membalas jasa mereka,” katanya kepada BH Online.

Justeru, sebagai anak, apa yang perlu dilakukan adalah berusaha membahagiakan orang tua sebelum mereka pejam mata.

“Nasihat saya, selagi masih mempunyai orang tua, rebutlah peluang menjaga mereka. Tiada guna apabila mereka sudah tiada, baru nak menyesal ataupun terkilan.

“Walaupun tidak tinggal bersama mereka, tetapi carilah jalan untuk menjaga mereka. Penyesalan tidak akan berlaku jika kita lebih awal menjalankan tanggungjawab sebagai anak,” kata Liza yang kini menjaga ibunya selepas pemergian arwah bapa, tiga tahun lalu.

Tambah pemilik nama lengkap Haliza Hanim Abdul Halim ini, dia mengharapkan segala bakti dicurahkan terhadap ibu bapa menjadi contoh kepada anak-anaknya.

“Saya juga akan tua. Anak-anak akan perhatikan apa yang kita lakukan untuk mencontohinya.

“Jadi, saya harap, anak-anak saya juga akan melakukan perkara sama terhadap saya,” ungkap penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Getaran Cinta Di Jiwa ini.

Bagi Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah, walaupun menyedari harta bukan ukuran kasih sayang, namun, tetap cuba menunaikan tanggungjawab demi melihat kebahagiaan orang tua.

“Tak kira apa sahaja yang dihajati, saya akan cuba tunaikan. Sebelum ini, rumah kami dilanda banjir dan banyak barang-barang rosak.

“Memandangkan, saya tak sempat nak uruskan sebelum Aidilfitri lalu, kali ini saya akan pastikan semua kelengkapan dapat disediakan sebelum Aidiladha,” ujar penyanyi lagu Tiada Dirimu ini.

 

Shila menitipkan nasihat agar anak tidak mengambil mudah soal kebajikan orang tua. – NSTP/Aziah Azmee

 

Shila juga sempat menitipkan nasihat agar anak tidak mengambil mudah soal kebajikan orang tua.

“Kita janganlah alpa dan menyangkakan kita mempunyai masa yang panjang. Tidak perlu tengok orang lain, adik-adik saya ada kala bersikap sedemikian.

“Selalunya, saya akan menghubungi mereka dan bertanyakan kenapa suka tinggalkan emak seorang diri di rumah.

“Hidup kita pun bukan menongkat langit, perlu berpijak di bumi nyata,” tegas Shila.

Terdahulu, dua penyanyi bervokal mantap ini menghiburkan tetamu menerusi single duet baharu berjudul Bahagiakan Dia pada majlis pelancaran drama bersiri, Cinta Hilang Kata terbitan Country & Universal Sdn Bhd di Panggung Asia, Gombak, baru-baru ini.

Ia dibintangi Shahz Jaszle, Sophia Albarakbah, Nelissa Nizam, Hariz Hamdan, Iqram Dinzly, Anne Abdullah dan Liza Abdullah.

Lagu Bahagiakan Dia ciptaan komposer muda, Aliff Iskandar terpilih menjadi runut bunyi drama rantaian, Cinta Hilang Kata. Drama arahan Kyoll Hamzah itu menemui penonton menerusi saluran Astro Prima.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat