PUTRAJAYA – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan merafak sembah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-83 Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial rasmi beliau, Perdana Menteri turut mendoakan agar KDYMM Tuanku Sultan dan Sultanah serta seluruh Kerabat Diraja Kedah sentiasa dikurniakan rahmat dan hidayah Allah SWT, serta dilimpahi kesejahteraan, kesihatan dan kemuliaan dalam pemerintahan.
“Patik mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Tuanku Sultan dan Sultanah serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
Daulat Tuanku.”
Sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah disambut setiap tahun sebagai menghargai jasa dan kepimpinan baginda sebagai ketua negeri. Sultan Sallehuddin menaiki takhta sebagai Sultan Kedah ke-29 pada September 2017, menggantikan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.