Tekanan kos operasi: PeSAWAH dijangka ‘berehat’ sementara

KUALA LUMPUR – Kira-kira 30 peratus pesawah di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak dijangka tidak dapat dapat memulakan musim baharu penanaman susulan peningkatan kos yang didakwa semakin membebankan.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Abdul Rashid Yob, berkata mengikut anggaran semasa, ada kira-kira 200,000 pesawah di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Katanya, mereka berdepan tekanan kos operasi, terutama membabitkan kenaikan harga diesel kesan krisis tenaga global, menyebabkan ada pesawah memilih ‘berehat’ sementara menunggu keadaan pulih, manakala sebahagian lagi beralih kepada tanaman lain seperti jagung, sayur-sayuran dan sawit.

“Dalam keseluruhan anggaran 30 peratus ini, ia merangkumi pesawah yang berhenti sementara, bertukar tanaman atau buat kolam ikan. Ada juga yang hanya tanam padi untuk kegunaan sendiri, contoh ada sehektar sawah, mungkin dia akan tanam suku hektar padi untuk makan sendiri.

“Jika diambil kira keluasan kira-kira 600,000 hektar kawasan sawah di seluruh negara, kesannya memang besar kepada pengeluaran padi,” katanya menurut BH di Alor Setar pada Rabu.

Beliau berkata, kos operasi yang meningkat mendadak menyebabkan ramai pesawah tidak lagi mampu menanggung perbelanjaan, termasuk penggunaan jentera dan pembelian diesel pada harga pasaran.

“Kos membajak misalnya meningkat sehingga lebih 50 peratus, sekali gus menekan pendapatan pesawah yang sedia terkesan. Bila harga diesel naik turun setiap minggu, pesawah dan pengusaha jentera tidak boleh tetapkan kadar upah stabil, menyukarkan keseluruhan rantaian pengeluaran padi.

“Keadaan pesawah, pemilik jentera masing-masing tersepit,” katanya memaklumkan tambahan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) kepada RM300 sehektar masih belum mencukupi untuk menampung kos sebenar di lapangan.

Tambahnya, bantuan itu tidak menyelesaikan masalah kerana pengusaha jentera masih perlu membeli diesel tanpa subsidi menyebabkan kos terus meningkat dan akhirnya ditanggung pesawah.

“Jadi kami harap kerajaan masukkan jentera pertanian padi ke dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) agar pesawah boleh menikmati harga diesel yang lebih stabil. Selain itu, pertimbang kenaikan harga lantai padi kepada RM3,000 setiap tan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menjamin kelangsungan pesawah.

“Kalau harga lantai padi tidak disemak semula, pesawah akan terus berdepan kerugian. Kita perlukan langkah lebih menyeluruh, bukan sekadar insentif jangka pendek,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat