Britain lulus larangan beli rokok sepanjang hayat generasi lahir selepas 2008

LONDON – Dewan Parlimen Britain meluluskan rang undang-undang yang melarang individu berusia 17 tahun ke bawah daripada membeli rokok sepanjang hayat mereka.

Rang Undang-Undang Tembakau dan Vape itu bertujuan menghalang individu yang lahir selepas 1 Januari 2009 daripada merokok.

Menteri Kesihatan, Wes Streeting, menyifatkan langkah itu sebagai detik bersejarah untuk kesihatan negara yang akan membawa kepada generasi pertama bebas asap rokok, dilindungi daripada ketagihan dan bahaya seumur hidup.

Apabila mendapat perkenan diraja dan berkuat kuasa sebagai undang-undang, ia akan memberi kerajaan kuasa untuk memperluaskan larangan merokok di dalam bangunan kepada kawasan luar seperti taman permainan kanak-kanak serta persekitaran sekolah dan hospital.

Ia juga akan memberikan kerajaan kuasa baharu untuk mengehadkan perisa dan pembungkusan vape, selain melarang penggunaan vape di tempat yang diwarta sebagai zo larangan merokok, lapor AFP.

Rang undang-undang itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memperhebat langkah pencegahan kesihatan dan mengurangkan tekanan jangka panjang terhadap Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) United Kingdom yang dibiayai kerajaan.

Pengarah badan amal kesihatan awam Action on Smoking and Health (ASH), Hazel Cheeseman, memberitahu stesen radio LBC, rang undang-undang itu merupakan titik perubahan tegas bagi kesihatan awam.

Kerajaan Buruh pada Jun 2025 memperkenalkan larangan penjualan vape pakai buang, yang murah dalam pembungkusan berwarna-warni sehingga menjadikannya popular dalam kalangan golongan muda.

New Zealand pada 2022 menjadi negara pertama yang melaksanakan undang-undang seumpama itu, dengan melarang penjualan rokok kepada mereka yang lahir selepas 2008.

Namun, gabungan konservatif yang baharu dipilih kemudian memansuhkan undang-undang tersebut pada November 2023, kurang setahun selepas diperkenalkan.

Maldives pada November 2025 melarang penjualan rokok kepada sesiapa yang lahir selepas 1 Januari 2007.

Menurut NHS, tabiat merokok di England menyebabkan kira-kira 75,000 kematian setahun dan bertanggungjawab terhadap sekitar satu perempat daripada semua kematian.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat