PASleak: Loyar Buruk Saja Layan Surat Layang Begitu – Hadi

KUALA LUMPUR- PAS bertegas tidak akan melayan isu PASleak yang disifatkan sebagai surat layang semata-mata untuk memfitnah parti itu.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, hanya golongan loyar buruk sahaja yang berminat untuk melayan surat layang berkenaan.

Sehubungan itu, menurut beliau, tiada keperluan untuknya membuat penafian selepas penjelasan sudah dilakukan Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, kelmarin.

“Masalahnya siapa yang buat surat itu pun kita tak tahu, jadi tiada guna kita dok layan (melayan) surat layang ni, nanti kita sama-sama melayang.

“Saya rasa hanya yang loyar buruk sahaja yang melayan surat layang ni, kerana dari segi undang-undang pun tidak lekat,” katanya memetik Utusan Malaysia ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di Marang pada Jumaat.

Terdahulu, Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan PASleak sebagai dokumen sampah sekali gus menafikan dakwaan wujud perbincangan dalaman untuk menjatuhkan beberapa pemimpin UMNO.

Sebelum ini tular di media sosial beberapa keratan didakwa minit mesyuarat PAS yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Berikutan itu, Hadi berkata, terpulang kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat laporan polis kerana PAS kekal dengan pendirian untuk tidak melayan isu berkenaan.

Dalam perkembangan sama, katanya, penyebaran PASleak tidak menggugat hubungan parti itu dengan rakan komponen PN, sebaliknya mereka sentiasa berbincang dari semasa ke semasa.