KUALA LUMPUR – Kunjungan delegasi Afghanistan menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut khususnya daripada aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan pada Khamis menjelaskan komitmen kementerian itu adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang bersedia meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan bahkan pada masa sama, hak pendidikan tidak boleh dinafikan.
Justeru, Malaysia komited dan mendukung penuh hak pendidikan kepada wanita serta akses pendidikan kepada kanak-
kanak perempuan.
“KPM mengambil perhatian mengenai isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng mengenai kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke KPM pada awal bulan ini seperti yang dilaporkan oleh media.
“Program kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar Negeri (KLN). Ia juga telah mendapat khidmat sokongan daripada kementerian dan agensi lain yang berkaitan bagi tujuan tapisan keselamatan dan pemantauan berterusan sehingga program selesai.
“Kunjungan ini adalah suatu usaha untuk menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan, yang mana Kerajaan Malaysia bersedia memberikan bantuan dari segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara tersebut,” jelas KPM dalam kenyataan tersebut.
Menerusi kunjungan ini, KPM telah melaksanakan pembentangan yang memberi gambaran menyeluruh sistem pendidikan negara termasuk berkenaan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di Malaysia.
Justeru, ia memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.
“Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti (Sustainable Development Goal – SDG 4) termasuk untuk menghapuskan kesenjangan jantina dan memastikan akses sama rata dan menyeluruh di semua peringkat pendidikan.
“Selain itu, kunjungan ini turut memberi pendedahan kepada delegasi Afghanistan untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa,” jelas kementerian itu lagi.
Semalam, Pengerusi DAP Lim Guan Eng meminta penjelasan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengenai lawatan rombongan satu kementerian daripada Afghanistan pimpinan Taliban baru-baru ini.
Guan Eng mempertikaikan manfaat lawatan itu kepada Malaysia berikutan negara ini tiada hubungan diplomatik dengan kerajaan Afghanistan pimpinan Taliban.
Katanya, beliau membangkitkan isu berkenaan bukan saja sebagai wakil rakyat, malah mengambil berat mengenai hak asasi manusia khususnya pendidikan wanita yang dilarang Taliban.