26 Qari, Qariah Johan Tilawah Kebangsaan Perdengar Bacaan Al-Quran

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan (MTQJK) yang akan berlangsung selama lima hari bermula esok hingga 26 Oktober ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, program itu diadakan secara maya di Studio Utama Yusoff dan Studio Mini Al-Qasas di Kompleks Islam Putrajaya dan 10 Studio RTM negeri di seluruh negara.

Beliau berkata, MTQJK disiarkan secara langsung di TV1 pada 22, 24 dan 25 Oktober dan juga di TV OKEY pada 23 dan 26 Oktober mulai pukul 9 hingga 10.30 malam.

“MTQJK adalah program julung kalinya diadakan sebagai alternatif kepada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1443H/2021M yang ditangguhkan berikutan penularan Covid-19.

“MTQJK adalah kelangsungan kepada usaha menyemarakkan pembudayaan al-Quran dalam kalangan masyarakat di Malaysia dan dianjurkan Jakim dengan kerjasama RTM, RTM negeri-negeri dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri (JAIN) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad akan merasmikan majlis itu esok, manakala majlis penutup pula akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 26 Oktober ini.

Abdul Aziz berkata, seramai 26 orang Qari dan Qariah Johan-Johan Tilawah Kebangsaan dan jemputan khas yang mewakili semua negeri bakal menyertai acara ini.

Menurutnya, program ini berkonsepkan persembahan bacaan al-Quran secara bertarannum oleh Qari dan Qariah yang pernah menjadi Johan MTHQK pada tahun-tahun yang lalu tanpa melibatkan sebarang pertandingan.

“Program ini turut dimeriahkan dengan pembabitan barisan artis tanah air seperti Rabbani, Far East, Inteam, Lah Ahmad dan lain-lain lagi.

“Penonton juga akan menyaksikan pengisian ibrah al-Quran yang mantap dan sudah pasti menyentuh perasaan menggunakan teknologi terkini Augmented Reality yang akan disampaikan oleh pegawai Jakim, Mohd. Hariri Mohd. Daud dan Nazirah Abu Bakar,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat