Zafrul mahu kebajikan pengasuh diberi perhatian dalam Belanjawan 2027

KUALA LUMPUR – Kebajikan dan pembangunan kerjaya pengasuh perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana golongan itu memikul tanggungjawab besar menjaga keselamatan, perkembangan serta kesejahteraan kanak-kanak.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, maklum balas yang diterimanya daripada golongan pengasuh akan dibawa kepada Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.

Menurutnya, pengasuhan bukan sekadar pekerjaan sampingan, sebaliknya suatu profesion penting yang perlu dihargai dan diperkasakan.

“Pengasuh jaga anak kita. Tapi siapa pula yang jaga kebajikan pengasuh?

“Kita serahkan bukan sahaja makan minum anak-anak kita kepada mereka, tetapi juga keselamatan, perkembangan dan kebajikan mereka.

“Bila anak dijaga dengan baik, mak ayah pun boleh pergi kerja dengan hati lebih tenang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Himpunan Gala Pesona Kasih MADANI Zon Tengah yang membolehkannya bertemu serta mendengar sendiri pengalaman dan cabaran dihadapi golongan pengasuh.

Dalam program sama, portal kasihmadani.com turut dilancarkan sebagai platform untuk pengasuh mendapatkan maklumat mengenai latihan serta bentuk sokongan yang disediakan bagi meningkatkan kemahiran mereka.

Zafrul berkata, usaha meningkatkan kemahiran pengasuh penting bagi mengiktiraf bidang itu sebagai satu profesion yang mempunyai peranan besar dalam pembangunan masyarakat.

“Kerja pengasuhan bukan sekadar kerja sampingan. Ini satu profesion yang perlu kita hargai,” katanya.

Menurutnya, membantu golongan pengasuh bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka, malah turut menyokong ibu bapa yang bekerja dan menjamin penjagaan lebih berkualiti kepada kanak-kanak.

“Bila kita jaga mereka yang menjaga anak-anak kita, kita sebenarnya sedang menjaga masa depan Malaysia,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat