JEPUN, – Skuad badminton wanita negara menamatkan penantian selama 12 tahun untuk mara ke peringkat suku akhir acara berpasukan wanita Sukan Asia selepas menewaskan Hong Kong 3-0, hari ini.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian membanggakan buat pasukan negara.
“Dua belas tahun tak beraksi dalam acara berpasukan wanita Sukan Asia, sekarang dah mara ke suku akhir!
“Tahniah skuad badminton wanita negara atas kemenangan 3-0 menentang Hong Kong. Korea Selatan menanti di suku akhir. Ayuh Malaysia!” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Malaysia membuka langkah kanan menerusi perseorangan wanita, K. Letshanaa yang menewaskan Lo Sin Yan Happy dalam aksi dua set, 21-9, 21-16.
Beregu utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah kemudian menggandakan kelebihan Malaysia selepas menundukkan pasangan Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam, 21-11, 21-17.
Wong Ling Ching melengkapkan kemenangan 3-0 pasukan negara dengan menewaskan Liang Ka Wing, 21-17, 21-14 dalam perlawanan perseorangan wanita kedua.
Kemenangan meyakinkan itu menyaksikan Malaysia mara ke suku akhir tanpa kehilangan sebarang set sepanjang pertemuan berkenaan.
Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti skuad negara apabila dijadualkan berdepan Korea Selatan bagi merebut tempat ke separuh akhir.
Korea Selatan merupakan antara kuasa utama badminton wanita dunia dan diperkuatkan barisan pemain berkelas dunia.
Kejayaan mara ke suku akhir itu memberi suntikan semangat kepada kem badminton negara dalam usaha mencipta pencapaian lebih baik pada temasya berkenaan.



