KUALA LUMPUR – Tiada pengecualian khusus kepada warga emas, golongan B40 atau pendeposit yang hampir tiba giliran daripada syarat simpanan minimum RM15,000 bagi mengekalkan kelayakan giliran haji, menurut Lembaga Tabung Haji (TH).
TH berkata, buat masa ini syarat berkenaan terpakai kepada semua pendeposit tanpa mengira umur, kumpulan pendapatan atau kedudukan mereka dalam giliran haji.
Bagaimanapun, pelaksanaannya tidak dibuat serta-merta apabila pendeposit sedia ada diberikan tempoh peralihan sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai simpanan RM15,000 secara berperingkat.
“Buat masa ini, tiada pengecualian khusus berdasarkan umur, kumpulan pendapatan atau kedudukan giliran. Syarat simpanan minimum RM15,000 terpakai kepada semua pendeposit yang ingin mengekalkan kelayakan giliran haji,” menurut TH lapor BH pada Isnin.
TH menjelaskan jumlah RM15,000 bukan ukuran sama ada seseorang itu kaya atau sebaliknya, sebaliknya menjadi penanda aras asas bagi menentukan kesiapsiagaan kewangan bakal jemaah.
Jumlah berkenaan turut mengambil kira kadar bayaran haji semasa bagi kumpulan B40 dan bertujuan menggalakkan pendeposit membuat persediaan kewangan lebih awal serta secara berperingkat.
Menurut TH, prinsip utama syarat berkenaan ialah memastikan seseorang pendeposit mempunyai sekurang-kurangnya tahap persediaan kewangan minimum apabila tiba masa menerima tawaran menunaikan haji.
Langkah itu juga bertujuan memastikan kuota haji yang terhad dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan mengurangkan keadaan tawaran perlu ditangguhkan atau diberikan kepada pendeposit lain kerana bakal jemaah belum bersedia dari segi kewangan.
“Matlamatnya bukan untuk membezakan siapa yang lebih berada, tetapi memastikan setiap bakal jemaah mempunyai tahap kesiapsiagaan asas yang sama apabila tiba giliran untuk menunaikan haji,” menurut TH.
Keperluan meningkatkan simpanan menjadi semakin penting apabila lebih 80 peratus daripada kira-kira 4.1 juta pendeposit yang sudah mendaftar haji masih mempunyai baki kurang RM15,000, lapor akhbar itu lagi.
Malah, 53 peratus daripada keseluruhan 9.8 juta pendeposit TH mempunyai baki simpanan kurang RM1,300, sekali gus menunjukkan masih wujud jurang besar antara pendaftaran haji dengan tahap kesiapsiagaan kewangan untuk menunaikannya.
TH justeru menggalakkan pendeposit memulakan persediaan lebih awal, menyimpan secara konsisten dan membina kemampuan mengikut keadaan kewangan masing-masing.
Bagi pendeposit yang sudah berada dalam sistem giliran, tempoh sehingga 31 Disember 2028 diberikan untuk mencapai paras RM15,000 secara berperingkat sebelum kaedah kelayakan baharu dilaksanakan mulai 2029.
Syarat simpanan minimum RM15,000 adalah sebahagian pendekatan Seruan Istito’ah yang menekankan kesiapsiagaan kewangan sebelum seseorang menunaikan haji.
Menurut TH, pendekatan itu bertujuan menjadikan sistem giliran lebih teratur dan memastikan bakal jemaah yang tiba giliran mempunyai kemampuan asas untuk menerima tawaran, selain mengurangkan jumlah tawaran yang terpaksa ditangguhkan akibat ketidaksediaan kewangan.
Pada masa sama, TH sebelum ini menjelaskan jumlah RM15,000 bukan angka yang semestinya kekal selama-lamanya dan boleh dikaji semula sekiranya berlaku perubahan ketara terhadap kos menunaikan haji atau faktor berkaitan.


