PDRM wajar siasatan kes babitkan tiga pegawai SPRM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa agar mengetuai siasatan bagi kes membabitkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata ini kerana kes berkenaan bukan hanya sekadar membabitkan salah guna kuasa, tetapi adalah kes jenayah berat.

“Kalau kita lihat telah berlaku perlanggaran berdasarkan kanun keseksaan termasuk Seksyen 204, iaitu membinasakan surat/bukti bagi mengelakkannya daripada dikemukakan sebagai keterangan.

“Serta dalam seksyen 489 A melibatkan pemalsuan mata wang kertas, 489 B menggunakan mata wang kertas palsu dan juga 489C memiliki mata wang kertas palsu; termasuk Seksyen 379 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mencuri.

“Maka,sekurang-kurangnya lima kesalahan berlaku yang seharusnya disiasat PDRM bukan SPRM. Tapi kalau kita lihat kenyataan daripada Jabatan Siasatan Jenayah belum ada laporan polis dibuat setakat ini.

“Jadi saya berharap pihak polis tidak perlu menunggu laporan dibuat tetapi buat laporan sendiri dan mulakan siasatan kerana kita risau apa yang berlaku ini adalah siri pengkhianatan amanah,”katanya pada Selasa.

Pada Isnin, SPRM mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman selama enam hari bermula 14 September lalu.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, usul berkenaan isu supaya SPRM tidak terlibat dengan siasatan kes berkenaan telah dikemukakan untuk dibahaskan pada Rabu.

“Saya juga ada masukkan usul dan harap Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun akan benarkan untuk dibahaskan esok (Rabu).

“Paling penting waktu ini, isu integriti SPRM mungkin dipersoal. Adakah kita sudah sedia dengan keadaan dimana rakyat akan hilang percaya terhadap SPRM? Saya rasa dalam usaha memerangi rasuah, kena pastikan integriti SPRM tidak dipersoalkan,”katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Hassan Abdul Karim, juga senada dengan perkara yang dibangkitkan.

Bahkan katanya, JKMR juga telah mengadakan perbincangan mengenai isu sama.

“Saya mengharapkan SPRM dapat jalankan fungsinya sebaik mungkin tapi dalam kes ini ada beberapa perkara yang merisaukan kami.

“Mengapa tiada laporan polis dibuat setakat ini? Daripada segi undang-undang, ini satu kegagalan oleh SPRM kerana faktanya, duit yang disimpan SPRM itu merupakan bahan bukti, apabila ia dicemar, ini satu kesalahan jenayah atau salah guna kuasa,”katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,578FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat