KUALA LUMPUR- Cadangan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk menambah pemerhati antarabangsa bagi memantau pelaksanaan genjatan senjata antara Thailand dan Kemboja bukan bertujuan mencampuri urusan dalaman kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh keberkesanan pasukan Pemerhati Interim ASEAN (IOT) yang kini dilihat kekurangan anggota di lapangan.
“Sebagai contoh, kita ada lapan di Bangkok tetapi hanya dua di Phnom Penh. Jadi kita putuskan perlu ditambah. Jika bilangan terlalu kecil, kita boleh ambil daripada pertahanan atau kedutaan untuk menyokong program ini.
“Tiada sebarang jangkaan luar biasa. Jika dibaca kenyataan itu, ia hanya menyebut supaya kita mulakan dengan kedutaan dahulu. Jadi perkara ini tidak menimbulkan masalah sama sekali,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan ASEAN Law Forum 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) lapor Utusan pada Khamis.
Beliau mengulas kenyataan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai yang menolak cadangan Anwar dengan menegaskan bahawa konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja adalah isu dua hala dan tidak wajar dicampuri pihak luar.
Phumtham dalam kenyataannya berkata, Anwar telah menghubunginya pada Selasa lalu dan mengemukakan cadangan penambahan pemerhati antarabangsa dengan alasan terdapat banyak tugasan yang tidak dapat dilaksanakan oleh IOT secara bersendirian.
Phumtham berkata, Thailand tetap berpegang kepada pendirian bahawa isu sempadan hanya boleh diselesaikan antara Bangkok dengan Phnom Penh tanpa campur tangan luar.



