KUALA LUMPUR – Sebuah premis pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian diarah tutup 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada petang Rabu lalu sehingga tular di media sosial.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) Abd Azim Shamsuddin berkata, notis penutupan diserah kepada pemilik berkenaan pada jam 8.20 pagi, hari ini.
Katanya, pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan Majlis Daerah Pontian (MDP) 2019 di bawah berkaitan pengibaran bendera.
“Setiap premis yang dilesenkan di bawah UUK diwajibkan mengibar Jalur Gemilang atau bendera negeri Johor dengan cara dan kaedah betul bagi tempoh tertentu, termasuk sempena bulan kemerdekaan.
“Tindakan penutupan dibuat mengikut UUK 49 (2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen,” lapor BH di Pontian pada Khamis.
Beliau berkata, pemilik premis boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan namun keputusan lanjut tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua MPPn.



