KUALA LUMPUR – Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar berharap pengkhianatan lima anggota perisik tentera tidak akan mematahkan semangat ribuan lagi perwira tanah air.
Beliau malah menyatakan keyakinan, dengan tindakan tegas kerajaan serta kesetiaan pasukan pertahanan, keselamatan negara tetap terjamin.
“Saya memandang serius laporan mengenai penahanan lima anggota tentera dari bahagian risik yang didakwa membocorkan maklumat keselamatan negara.
“Kes ini bukan sahaja menyentuh soal disiplin, malah menyentuh soal maruah serta kedaulatan negara yang mesti dipertahankan tanpa kompromi.
“Namun begitu, rakyat tidak perlu cemas atau panik. Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah bertindak pantas menggantikan anggota terlibat agar kelancaran operasi dan kesiapsiagaan negara tidak terganggu.
“Ini bukti bahawa sistem keselamatan kita masih berfungsi dengan baik, dan institusi pertahanan negara tidak akan sesekali tunduk kepada pengkhianatan segelintir individu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tegas Mahfuz, harus ingat lima orang yang sedang disiasat ini tidak boleh mewakili keseluruhan pasukan tentera.
Kata beliau, ATM terdiri daripada puluhan ribu anggota yang ikhlas, berkorban siang dan malam, berpisah dengan keluarga, serta sanggup mempertaruhkan nyawa demi menjaga keamanan negara. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
“Saya juga bersimpati dengan keluarga anggota yang ditahan. Apa yang berlaku adalah satu ujian besar.
“Namun pada masa yang sama, kita juga tidak boleh menutup mata terhadap kesannya kepada keluarga besar ATM dan seluruh rakyat Malaysia yang menaruh keyakinan terhadap angkatan pertahanan” ujarnya.
Hal demikian Mahfuz menyeru, SPRM dan pihak berkuasa menyiasat kes ini hingga ke akar umbi tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“(Kementerian Pertahanan) MINDEF dan ATM memperkukuh langkah keselamatan maklumat, termasuk risik balas, agar insiden begini tidak berulang.
“Rakyat Malaysia terus memberi sokongan moral kepada anggota tentera yang berkhidmat dengan setia dan jujur, kerana majoriti mereka adalah wira tanpa nama yang menjaga sempadan dan kedaulatan negara dengan penuh dedikasi,” katanya.



