Guru Bahasa Inggeris dakwa Zara dimasukkan dalam mesin basuh didakwa timbulkan kegentaran awam

KUALA LUMPUR – Guru Bahasa Inggeris yang menyebarkan maklumat mendakwa Allahyarham Zara Qairina Mahathir dimasukkan ke dalam mesin basuh didakwa di Mahkamah Majistret di Sepang pada Khamis.

Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan menimbulkan kegentaran awam mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan itu dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam dan boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Ibu tunggal itu didakwa membuat kenyataan di akaun Tiktok miliknya ‘SHA_Abrienda’ pada jam 1.20 petang, 6 Ogos lalu.

Kenyataan itu dilihat dan didengar oleh seorang anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di Sepang.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, lapor BH.

Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina yang juga pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Sabah, ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah jam 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.

Kematian Allahyarham mencetuskan perhatian umum apabila ia pada peringkat awal diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini membuka 15 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu berkaitan kematian pelajar tingkatan satu itu termasuk dakwaan kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat