KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta maaf kerana banyak membuat tuduhan serta fitnah terhadapnya.
“Dia pun kena minta maaf, banyak tuduhan dan fitnah dilempar (dengan berkata) kerajaan zalim, tak bagi peruntukan kepada Kelantan, beratus (tuduhan) yang disebut di Parlimen dan di luar Parlimen,” kata Anwar.
Pada 7 Ogos lalu, Muhyiddin menuntut Anwar meminta maaf berhubung kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa beliau mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
Ahli Parlimen Pagoh itu dilaporkan berkata, jika tidak meminta maaf, beliau akan membuat usul kepada Dewan Rakyat untuk merujuk Perdana Menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Dalam reaksinya kemudian, Anwar menyatakan kesediaan membuat permohonan maaf sekiranya terbukti kenyataan beliau itu yang dibuat berdasarkan tiga sumber maklumat diterimanya, tidak bersandarkan sumber sahih, namun siasatan lanjut diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Dalam pada itu Anwar berkata, beliau masih menunggu laporan penuh MCMC untuk diteliti terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada perlu memohon maaf kepada Muhyiddin.
Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada MCMC untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan kesahihan sumber yang dirujuk berhubung kenyataan yang dibuat di Parlimen baru-baru ini.
Ia berhubung kenyataan bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden BERSATU itu mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
“Kita akan lihat kepada laporan MCMC,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Hadir sama, Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.



