Wings cetus fenomena

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menghampiri empat dekad penubuhannya, kumpulan rock ikonik, Wings terus terbang tinggi dengan sayap-sayapnya. Siapa menduga band yang ditubuhkan enam remaja pada 1984 ini utuh hingga hari ini.

Buktinya, apa sahaja dilakukan Wings pasti mendapat sokongan padu peminat yang menggelarkan diri mereka, Sayap-Sayap Wings.

Itulah yang dilihat pada Konsert Fabulous Wings di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur selama dua malam, baru-baru ini.

Tidak hairanlah, tiket untuk persembahan malam pertama ‘disapu’ licin dalam tempoh 15 minit selepas jualan dibuka.

Melihat sambutan hangat peminat, persembahan ditambah untuk malam kedua dengan tiket dijual dalam tempoh lima minit sahaja.

Itulah fenomena luar biasa yang dicetuskan Wings yang terus megah dalam liga tersendiri.

Membalas sokongan peminat, Wings tampil bersemangat pada konsert itu, biarpun hakikatnya, vokalis Datuk Awie kurang sihat apabila dijangkiti demam panas.

Namun, andai Awie atau nama sebenar, Ahmad Azhar Othman tidak berkongsi hakikat dirinya kurang sihat, pasti perkara itu tidak disedari dengan vokal dan tenaga yang ditunjukkan di pentas berprestij itu.

Awie yang membuat persembahan dalam keadaan demam yang belum kebah, memohon maaf terhadap kekurangan dan kegagalannya beraksi dengan baik.

“Saya mengaku gagal malam ini. Saya kecewa sebab kami berlatih kuat-kuat, tetapi akhirnya, hari ini saya lemah di pentas.

“Saya tidak sihat, semalam masuk hospital dan ambil suntikan. Namun, kita sudah berjanji dan persembahan tetap diteruskan sebab tiket sudah jual.

“Saya tak boleh ponteng, nanti kena rotan. Kita pun sudah berjanji hendak ‘dating’ malam ini.

“Jadi, kalau ada salah dan silap, saya minta maaf. Kami sudah berlatih lebih sebulan, siang dan malam. Saya kecewa tidak dapat beri 100 peratus,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh penonton.

Awie juga mengadu mengalami kekejangan badan, namun, dia enggan menjadikan faktor kesihatan sebagai halangan untuk menghiburkan peminat dengan 17 lagu malar segar.

 

Awie membuat persembahan dalam keadaan demam yang belum kebah, memohon maaf terhadap kekurangan dan kegagalannya beraksi dengan baik.

 

Disambut sorakan serta tepukan peminat tanda sokongan dan semangat, Awie merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir di DFP.

“Saya terharu dan mengalirkan air mata apabila melihat sambutan peminat dan penonton pada dua malam ini. Saya sedih jika dianggap gagal memberikan persembahan dengan baik.

“Namun, saya tahu, semua di sini sayangkan saya, kalau tak sayang, tidak datang, bukan?” katanya.

Bagi konsert sejam setengah itu, Awie mengaku sukar memilih lagu.

“Bukan disebabkan tidak tahu lagu mana yang mahu dipilih, tetapi disebabkan Wings ada banyak lagu,” katanya berseloroh.

Membuka persembahan dengan lagu Satelit Puaka dan Kuburkan Aku, Awie mengimbas kenangan merakamkan album Bazooka Penaka di Melbourne, Australia pada 1993.

Wings meneruskan persembahan dengan lagu Mabuk 7 Lautan dan Gema Di Indraloka daripada album Double Trouble, yang dirakamkan di Singapura.

Wings turut mempersembahkan lagu ciptaan pemain gitarnya, Edrie Hashim berjudul Lubuk Pusing. Lagu yang dipetik daripada album Naga Kramat itu dianggap suatu penghargaan buat Edrie.

Persembahan diteruskan dengan lagu Aku Pun Tahu, Hukum Karma, Jerangkung Dalam Almari, Jumpa Hilang, Sekeping Kertas Bermaruah, Gemuruh, Dalam Kehadiran Sofea, Opera Hidup, Ingatkan Dia dan Peronda Jaket Biru.

Cukup 15 lagu, Awie memberi isyarat konsertnya sudah berakhir, namun, bagi memenuhi permintaan peminat, Wings menghadiahkan dua lagu, iaitu Harapan dan Sejati.

Ketika mula diasaskan, Wings dianggotai Awie yang bertindak sebagai vokalis, Sham (gitar utama), Zul (keyboard), Eddie (bes) dan Black (dram).

Merakamkan 11 album studio tidak termasuk album kompilasi, ‘live’ dan projek album studio bersama Search.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat