Shamsul kembali jadi ‘hero’ selepas lama terpinggir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Sekiranya tak boleh menandingi mereka, kita sertai mereka,” demikian perkongsian pelawak dan pelakon, Shamsul Ghau Ghau apabila ditanya bagaimana mahu kekal relevan dalam dunia komedi, meskipun usia sudah meningkat.

Shamsul, 54, berkata, dia tidak perlu untuk terus berusaha menjadi bintang, sebaliknya bekerjasama dengan bintang-bintang yang sedang bersinar.

“Saya mengambil inisiatif atau formula sedemikian kerana tidak mahu ketinggalan. Saya juga tidak mahu mengatakan saya adalah bintang sebelum ini, sekarang pun masih lagi bintang.

“Saya pernah menjadi bintang, tetapi kini, tidak lagi. Jadi, walaupun saya bukan hero, tetapi saya masih kekal bersama bintang hari ini. Dalam masa sama, saya juga menggilap bakat baharu untuk menjadi bintang.

“Contohnya apabila menjayakan komedi, seorang perlu menjadi ‘feeder’, seorang lagi pula ‘killer’. Jadi, sekarang saya bukan lagi ‘killer’, tetapi adalah ‘feeder’,” katanya kepada BH Online.

Dan dalam tidak sedar, Shamsul berkata, dia pernah tidak berlakon watak utama selama lebih kurang lapan tahun.

Susulan itu, Shamsul berkata, dia terharu masih diberikan kepercayaan oleh syarikat produksi, Orangetree Production Sdn Bhd untuk menjayakan watak utama.

Shamsul berkata, penampilannya sebagai Komandudu Adnan menerusi drama Guard Komando itu secara tidak langsung mengubati rindu terhadap dunia lakonan yang sekian lama ditinggalkan.

“Saya meninggalkan dunia lakonan bukan kerana saya tak mahu berlakon tetapi saya tiada peluang kembali berlakon. Jadi saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada produksi Orangetree Production kerana memberi kepercayaan untuk saya kembali berlakon dan memegang watak utama.

“Walaupun saya kembali berlakon bersama produksi Radius One menerusi drama Budak Usin yang berjaya memenangi Drama Komedi Terbaik di Anugerah Skrin 2019.

“Namun, rezeki saya tidak kesampaian selepas itu. Jadi, saya perlu meneruskan kehidupan dan mencari rezeki dengan melakukan kerja lain,” katanya.

 

Shamsul tidak lagi ditawarkan watak utama sejak lapan tahun lalu, namun, terharu diberikan peluang membawa watak Komandudu Adnan menerusi drama Guard Komando.

 

Shamsul ditemui pada sidang media drama terbaharu, Guard Komando menerusi atas talian, hari ini.

Selain Shamsul, pelakon lain turut membintangi drama komedi termasuklah Mark Adam, Fendy Bakry dan Jiggy Masin.

Berkongsi lanjut mengenai drama Guard Komando, Shamsul berkata, dia menyimpan perasaan takut digandingkan dengan tiga pelakon popular berkenaan.

Kata Shamsul, perasaan takut timbul apabila memikirkan dirinya sudah lama meninggalkan dunia lakonan.

“Seperti tukang masak yang sudah lama tidak masak, bila dipanggil memasak di lokasi besar, pastinya gugup. Begitu juga saya. Ini adalah kali pertama saya berlakon dengan tiga pelakon ini.

“Saya agak terkejut apabila dapat tawaran membintangi drama Guard Komando. Pada awalnya, saya bukan diberikan watak ayah kepada tiga pelakon ini.

“Sebaliknya, saya diminta penerbit eksekutif untuk menambah baik watak. Jadi, saya katakan mengapa tidak sekiranya ia bersesuaian dengan jadual, bayaran, lokasi dan sebagainya.

“Memang saya agak gementar dan takut kerana Fendy, Mark dan Jiggy sememangnya pelakon popular. Namun, jika saya tunjuk takut, nanti saya kena ‘makan’ dengan tiga pelakon ini, jadi saya masuk set dan buat selamba serta cuba bergurau,” katanya.

Syukur dengan gurauan, Shamsul berkata, ia dapat mengeratkan hubungan mereka di lokasi, malah dapat menghilangkan jurang yang ada.

“Tidak hanya itu, pelakon seperti Fendy banyak memberikan saya ilmu untuk mengingati dialog. Malah, ketika saya lupa dialog, dia akan berikan ‘cue’ untuk saya kembali mengingati.

“Alhamdulillah, untungnya saya berada di dalam set yang semuanya memberi dan menerima. Jadi, saya yakin drama Guard Komando ini hasil garapan pengarah, penolong pengarah dan barisan pelakon, bahawa drama ini akan tular,” katanya.

Guard Komando bakal bersiaran di slot Diandra, TV3 mulai 28 Julai ini, setiap Khamis dan Jumaat, jam 8.30 malam. Ia juga dapat disaksikan dengan strim langsung dalam HD di www.tonton.com.my.

Drama bersiri 20 episod itu diterbitkan oleh Orangetree Production diarahkan oleh Mp Roslin Md Sharif, nukilan skrip oleh Amin Shakib dan Azmy Ariff.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat