Calon ahli Lembaga Tabung Haji boleh dipilih oleh Parlimen – Ketua Pemuda UMNO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Parlimen boleh bertindak memilih calon ahli Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Pengarah yang berkelayakan, profesional dan mempunyai kepakaran khusus diperlukan mengikut keperluan aktiviti perniagaan dalam usaha menambah baik tadbir urus organisasi itu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengemukakan cadangan penambahbaikan tadbir urus TH berkata, pemilihan ke jawatan berkenaan juga mesti bebas daripada mereka yang berjawatan dalam mana-mana parti politik.

Beliau berkata, amalan ini boleh diambil manfaat daripada Garis Panduan Tadbir Urus Institusi Kewangan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang mensyaratkan antara kriteria Ahli Lembaga Pengarah bank tidak boleh menjawat jawatan parti politik.

“Seharusnya apa jua tindakan untuk memperkemaskan dan menambah baik aspek tadbir urus TH mestilah bersandarkan kefahaman holistik mengenai tabii dan sifat organisasi berkenaan yang unik dan istimewa.

“Ini bagi mengelak sebarang pendekatan simplistik yang dilihat terburu-buru hingga bakal mengorbankan matlamat penubuhan TH yang selama zaman Barisan Nasional (BN) menunjukkan prestasi kewangan amat baik dan diyakini rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Kementerian Kewangan pada Khamis lalu memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh yang antara lain membabitkan cadangan dasar model baharu operasi dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Kementerian berkenaan juga berkata, Jemaah Menteri turut menyenaraikan TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, TH juga boleh dipecahkan kepada dua sektor iaitu sektor pengurusan dana, yang bertanggungjawab mengurus wang simpanan bakal haji dan ditadbir secara profesional oleh pihak bertauliah dan berlesen mengikut garis panduan dan peraturan ditetapkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).

Kedua kata beliau, sektor operasi pengurusan haji, yang bertanggungjawab sepenuhnya perihal pengendalian kebajikan dan urusan jemaah haji daripada aspek sebelum menunaikan haji sehinggalah pengurusan manasik haji sepanjang berada di tanah suci yang menjadi kelebihan dan kepakaran utama TH sejak awal penubuhannya.

“Pembahagian dua sektor ini bagi memastikan mereka yang mengurus dana dan membelanjakan dana adalah dua entiti berbeza. Ini dapat meningkatkan tahap keberkesanan dan kecekapan tadbir urus korporat TH.

“TH adalah badan induk yang mengawal kedua-dua sektor ini dengan lembaga pengarah dan pengurusannya masing-masing dan tidak boleh berlaku pertindihan personaliti mahupun tanggungjawab. Ini memastikan wujud kemandirian antara dua sektor terbabit dengan pengurusan dana dan penggunaan dana dalam bentuk operasi haji,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf turut memberi tujuh rasional mengapa TH tidak wajar diletakkan di bawah BNM, antaranya organisasi itu bukannya bank yang menjalankan aktiviti menawarkan pinjaman mahupun insurans/takaful kepada orang ramai.

“TH bukannya terdedah kepada risiko kredit (credit risk) iaitu risiko yang terkait dengan keberangkalian peminjam tidak mampu membayar balik pinjaman yang menjadi fokus utama BNM.

“TH bukannya bank yang jaminan ke atas wang-wang pendeposit hanya dijamin sebanyak RM250,000 oleh Perbadanan Insuran Deposit Malaysia (PIDM), sebaliknya di bawah Akta Tabung Haji 1995, setiap sen wang pendeposit dijamin oleh kerajaan tanpa had,” katanya.

Rasional lain kata beliau, TH juga bukannya bank yang mana kadar hibah bank-bank dikawal selia oleh BNM supaya tidak terlalu jauh nilainya supaya wujud padang yang sama rata, bagi mengelakkan pendeposit mudah berpindah dari satu bank ke bank lain.

“Sebaliknya TH bebas menawarkan hibah berasaskan keuntungan selepas tolak zakat selagi mana tidak melanggar akta dan dipersetujui oleh Lembaga Pengarah dan diluluskan Ketua Audit Negara.

“TH juga bukannya bank kerana aktiviti utamanya selain menguruskan hal ehwal operasi haji, adalah institusi yang menguruskan dana-dana pendeposit untuk dilaburkan sama ada dalam bentuk jual-beli saham/sekuriti, terbabit dalam aktivisi perkongsian dan perusahaan, ataupun dibenarkan menubuhkan anak syarikat untuk terbabit dalam pelbagai bentuk perniagaan seperti perladangan, hartanah, perhotelan, minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata, TH juga bukan bank yang hanya fokus aktiviti memberi pinjaman, sebaliknya terbabit dalam banyak bentuk perniagaan selaras dengan mandat Akta Tabung Haji yang jelas di luar skop kawal selia dan kepakaran BNM.

“Sebagai contoh, BNM sebagaimana peranan bank pusat Pusat di seluruh dunia tidak punya kepakaran mengawal selia aktiviti perniagaan selain pinjaman/insurans yang terdedah kepada pelbagai risiko lain selain risiko kredit, seperti perladangan, hartanah, perhotelan, minyak dan gas dan lain-lain.

“TH adalah institusi seperti syarikat pengurusan dana (asset management company) yang lebih sesuai dikawal selia oleh SSM berbanding BNM,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat