Harimau Malaya Jangan Dibuai Mimpi Indah – Kim Pan Gon

- Advertisement -

KUALA NERUS – Skuad bola sepak negara tidak boleh dibuai mimpi indah dengan cabaran lebih getir menanti menjelang hujung tahun ini dan awal tahun depan dengan dua tugasan penting.

Bukan mahu meremehkan kemenangan 10-0 ke atas Papua New Guinea, malam tadi sebaliknya pengendali, Kim Pan Gon, memilih bersikap realistik dengan prestasi semasa Harimau Malaya.

Malah kerja keras Pan Gon akan diuji lagi sebaik kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November ini sebelum memulakan aksi dalam Piala Asia 2023 pada Januari tahun depan.

“Saya gembira melihat persembahan malam ini (semalam) namun ianya cuma satu perlawanan. Sasaran kami adalah untuk kekal agresif melawan pasukan gergasi.

“Malangnya kami berdepan kekangan masa. Jadi, eksperimen akan diteruskan dan saya ingin lihat jika pemain mampu mengekalkan ‘DNA’ sama,” katanya selepas perlawanan, semalam.

Sejak dilantik mengendalikan Harimau Malaya, Januari tahun lalu, prestasi pasukan kebangsaan menunjukkan keputusan positif di bawah kendalian Pan Gon.

Namun jurulatih kelahiran Korea Selatan mengakui peningkatan mendadak itu dibimbangi meletakkan pasukan negara dalam tekanan lebih tinggi terutama daripada peminat.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedar perkara ini, saya katakan bahawa kami meningkat terlalu cepat termasuk ranking dunia dan ini sebenarnya bukan petanda yang baik.

“Dengan harapan menggunung menjelang dua kejohanan penting itu, Harimau Malaya boleh ‘karam’ dan peminat harus faham apa sasaran jangka pendek serta jangka panjang FAM.

“Apa yang penting, semua harus bersatu dan kita ambil selangkah demi selangkah menuju misi lebih besar dan saya akan buat yang terbaik sehingga Piala Asia 2023,” jelas Pan Gon.

Harimau Malaya menamatkan aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 dengan membelasah Papua New Guinea, 10-0, semalam, dibantu empat gol Aiman Arif Hanapi serta hatrik Paulo Josue.

Turut muncul sebagai penjaring adalah Safawi Rasid, Faisal Abdul Halim dan Daniel Ting dengan keputusan itu dijangka melonjakkan lagi kedudukan Malaysia di ranking dunia.

“Selepas dua perlawanan di Terengganu, saya lihat barisan pemain bekerja keras memberikan persembahan berkualiti kepada penonton selain mengatasi tekanan dengan baik.

“Malah sejak melatih pasukan ini, tahap keyakinan pemain juga meningkat yang mana ianya bukan sesuatu yang dipelajari di atas padang dan saya berbangga dengan mereka,” jelas Pan Gon. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat