Mahu sambung pengajian dulu

- Advertisement -

BIARPUN kini hangat bercinta, penyanyi, Shalma Eliana belum memberi bayangan untuk melangkah ke fasa pertunangan dengan kekasihnya yang juga penyanyi popular, Ismail Izzani.

Shalma, 21, menegaskan tiada sebarang majlis pertunangan berlaku dalam masa terdekat ini seperti jangkaan dibuat segelintir peminatnya dan Ismail.

“Perkara ini (bertunang), belum terlintas lagi memandangkan saya sendiri mempunyai hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah di luar negara.

“Bohong kalau saya kata kami tak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga kerana hubungan cinta dijalin ini sememangnya serius.

“Bagaimanapun, ia tidak sampai kami nak kena bertunang segera kerana impian utama saya ialah nak sambung belajar ke luar negara dulu,” katanya.

Menurutnya, hasrat berkenaan turut disokong keluarganya dan soal bertunang mungkin hanya akan dipertimbangkan apabila usia Shalma mencecah usia 25 tahun.

Sebelum ini, Shalma memaklumkan dia memilih United Kingdom (UK) untuk menyambung pengajian, namun terpaksa akur dengan penularan Covid-19 yang menjadi penghalangnya buat masa ini.

“Insya-Allah, apabila semuanya okay baru saya akan ke sana. Saya juga belum pasti apa bidang pengajian yang akan diambil.

“Mungkin dalam bidang perniagaan atau komunikasi media seperti yang pernah saya ambil ketika pengajian diploma sebelum ini.

“Begitu juga dengan universiti yang dipilih kerana banyak faktor perlu diambil kira dalam keadaan pandemik sekarang,” katanya.

 

SHALMA mahu menyambung pelajaran sebelum memikirkan untuk kahwin.
SHALMA mahu menyambung pelajaran sebelum memikirkan untuk kahwin.

 

Tampil dengan Rambang

Tiga tahun terbabit dalam bidang seni, Shalma mengakui belum puas dengan apa yang dikecapinya. Setiap hari dia mencari ruang, meneroka perkara dan pengalaman baharu.

Selepas single Janji Terindah, Mahukah Kamu dan Aroma, Shalma kini tampil dengan single keempat berjudul Rambang yang agak berbeza dari genre sebelumnya.

“Saya enggan statik di zon selesa dan seboleh mungkin mahu menyerlahkan sisi versatil yang ada. Macam orang lain juga, saya akan cuba buat perkara yang disukai sebaiknya. Itu prinsip dan pegangan saya.

“Insya-Allah saya takkan buat sesuatu hanya kerana orang lain mahu atau sebab nak tular serta ingin mengecap populariti sekelip mata.

“Cukup saya kongsikan muzik sesuai kepada pendengar dan peminat. Jika ia mengambil masa sekalipun untuk mencuri perhatian, itu tidak sesekali mengubah niat perjuangan seni saya,” katanya.

Lagu bergenre balada ciptaan Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat ini adalah kerjasama kedua mereka selepas single Aroma.

“Rambang adalah satu eksperimentasi baharu buat saya. Boleh dikatakan ia bersifat ‘dark’, namun ada mesej bermakna. Saya sendiri tak sangka yang saya mampu mengalunkan lagu berentak balada.

“Lagu ini seolah-olah mengeluarkan aura yang baharu dalam diri saya. Tak dinafikan proses rakamannya juga agak mencabar.

“Namun, saya berjaya habiskan proses rakaman dalam tempoh lebih dua jam. Kebetulan saya dah hafal lagu itu agak lama, jadi hanya menyerap emosi dalam menghidupkan karya berkenaan,” katanya.

Menurut Shalma, ada juga melodi tertentu dalam lagu itu ditukar mengikut keselesaan dan kesesuaian vokalnya.

“Saya optimis lagu ini akan diterima baik serta positif. Lebih manis, ia juga bakal menjadi lagu tema (OST) untuk drama Dia Isteriku di TV AlHijrah,” katanya.

Lagu Rambang kini boleh didapati di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX dan Deezer. Begitu juga, muzik video liriknya boleh ditonton di YouTube.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat