Oleh Zihan Zari
KEPALA BATAS – Lebih 1000 penduduk berbilang kaum memeriahka Rumah Terbuka HAVOC Raya anjuran Surau Taman Nusa Cinta dalam suasana penuh warna-warni, dan semangat kekeluargaan telah berlangsung di Taman Nusa Cinta dekat sini, baru-baru ini.
Dalam suasana harmoni program ini berjaya menghimpunkan masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain yang hadir bersama keluarga sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian yang utuh dalam komuniti setempat.
Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang program bagi memastikan setiap lapisan umur dapat menikmati suasana Aidilfitri, termasuk persembahan silat tradisional yang memukau, pakaian tercantik, gerai paling HAVOC serta persembahan kanak-kanak yang mencuit hati para hadirin.
Turut menjadi tumpuan ialah segmen agihan duit raya yang dinanti-nantikan khususnya oleh kanak-kanak, di samping 63 cabutan bertuah yang disediakan sepanjang malam bagi menghargai kehadiran para pengunjung.
Suasana majlis bertambah meriah dengan pelbagai pilihan juadah yang disediakan seperti nasi tomato, sajian bakar-bakar, hinggalah kepada aneka mi, lemang, kuih muih, kudapan serta pencuci mulut yang menjadi kegemaran ramai.
Kelihatan para tetamu tidak melepaskan peluang menikmati hidangan sambil berbual mesra, diserikan lagi dengan pilihan minuman pelbagai perisa yang menyegarkan, sekali gus mewujudkan suasana Aidilfitri yang penuh kehangatan dan kebersamaan.
Selain itu, majlis turut menyaksikan pelancaran rasmi T-Shirt Sukarelawan HAVOC Taman Nusa Cinta, yang disempurnakan dengan gimik kemasukan motosikal penuh bergaya, sekali gus mencuri perhatian dan menambahkan elemen dramatik dalam acara tersebut.
Apa yang lebih membanggakan, program ini digerakkan hasil kerjasama erat penduduk sendiri yang tampil menyumbang tenaga, masa dan tajaan, termasuk penyediaan juadah serta hadiah cabutan bertuah.
Semangat gotong-royong yang dizahirkan bukan sahaja memeriahkan majlis, malah menjadi bukti kukuh bahawa kekuatan sebenar sesebuah komuniti terletak pada kebersamaan dan keikhlasan komunitinya.
Dalam pada itu, Pengerusi Surau Taman Nusa Cinta, Mohd Yusri Mohd Yusoff,43, berkata rumah terbuka seperti ini bukan sahaja meraikan Aidilfitri, malah menjadi platform terbaik untuk kita saling mengenali dan mengeratkan hubungan tanpa mengira kaum.
“Kami amat berbesar hati melihat sambutan yang diterima amat menggalakkan dan melebihi jangkaan. Ini membuktikan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan komuniti Nusa Cinta sangat kuat,”katanya.
Seorang lagi penduduk, Suryakandh Kalimutu, 48, berkata penganjuran program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuh silaturrahim serta menyemarakkan semangat perpaduan antara kaum.
Kemuncak program diserikan dengan persembahan bunga api yang memukau, menerangi langit malam dan meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad; ADUN Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, ADUN Pinang Tunggal, Bukhori Hj. Ghazali; Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Zainuddin Mohamed; Ketua-Ketua jabatan dan agensi kerajaan serta pemimpin komuniti yang bersama-sama menyantuni masyarakat dan memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat.-SUARA.TV



