KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tegas mengulangi ikrar Malaysia untuk melindungi Harimau Malaya dan habitatnya seperti yang telah termeterai dalam Deklarasi Saint Petersburg pada 2010.

Menurut beliau, Malaysia akan terus mengukuhkan usaha pemuliharaan harimau dan menyokong pelbagai inisiatif global, termasuk yang disyorkan melalui Asia Ministerial Conference on Tiger Conservation (AMC4).

“Saya memuji sumbangan penting rakan dari negara lain dalam usaha pelaksanaan pelan tindakan terhadap Harimau Malaya dan Program Pemulihan dan Harimau Global (GTRP).

“Memandangkan tahun 2022 merupakan Tahun Harimau, kita jangkakan semangat ini akan membawa kepada tenaga baru iaitu sinonim dengan haiwan ini yang berani, yakin dan memaparkan semangat juang yang hebat.

“Jadi saya harapkan pertemuan ini dapat memperkukuh kerjasama semua negara terlibat untuk bekerjasama melindungi harimau daripada terus diancam kepupusan,” kata Ismail Sabri dalam rakaman ucapan pembukaan AMC4 pada Jumaat.

Susulan itu Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia serius melaksanakan pemuliharaan biodiversiti sekali gus melindungi habitat dan spesis harimau.

“Populasi harimau seluruh dunia mencatatkan kemerosotan teruk apabila jumlah haiwan itu kini kurang daripada 4,000 ekor di peringkat global.

“Angka itu membuktikan betapa kritikalnya ancaman terhadap populasi harimau. Malah berdasarkan tinjauan, Harimau Malaya yang tinggal di hutan kita juga kurang daripada 150 ekor sahaja.

“Pakar meramalkan Harimau Malaya akan lenyap dalam tempoh 5 hingga 10 tahun jika tiada tindakan strategik dilaksanakan segera,” ucap Perdana Menteri.

Ismail Sabri memaklumkan bagi mengekang dan mengurangkan kepupusan populasi harimau, Malaysia telah menjalin kerjasama dengan agensi antarabangsa bagi mencegah aktiviti pemerdagangan haram haiwan liar termasuk ASEAN Working Group on CITES and Wildlife Enforcement (AWG
CITES & WE) dan the International Criminal Police Organization (INTERPOL).

“Bagi menjayakan misi menyelamatkan haiwan ikonik ini, semua pihak harus menggarap kerjasama padu,” katanya.