TEL AVIV – Ratusan anggota tentera Israel termasuk pegawai kanan memohon untuk bersara awal, sekali gus memburukkan lagi krisis kekurangan anggota ketika tentera rejim itu bergelut dalam operasi berterusan terhadap Gaza.
Menurut laporan akhbar Yedioth Ahronoth, wakil Pentadbiran Personel tentera memaklumkan kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar dan Pertahanan Knesset sebanyak 600 anggota kerjaya, termasuk pegawai kanan dan pegawai bukan berjawatan, telah memohon untuk meletakkan jawatan lebih awal.
“Sepanjang perang (di Gaza), terdapat anggota yang kami tangguhkan persaraan mereka kerana tiada pengganti,” kata seorang pegawai tentera kepada ahli parlimen.
Pihak tentera turut memaklumkan sebanyak 85 peratus anggota kerjaya bersara pada pangkat Lt. Kolonel atau lebih rendah.
Seorang pegawai tentera, Bar Kalifa, memberitahu jawatankuasa itu mengenai krisis berkenaan yang turut berpunca daripada keputusan Mahkamah Agung Israel untuk membatalkan kenaikan pencen untuk pegawai kerjaya, menurut terjemahan Utusan pada Khamis.
Beliau turut menyentuh isu lebih besar iaitu kekurangan tenaga Anggota Pertahanan Israel (IDF) berikutan pengecualian berterusan terhadap golongan Yahudi ultra-Ortodoks (Haredi) daripada perkhidmatan tentera, pada ketika tentera mula melakukan operasi di Gaza City.
Tentera Israel kini memerlukan sebanyak 12,000 anggota tambahan, katanya.
Pada 8 Ogos lalu, Kabinet Keselamatan Israel meluluskan rancangan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk menduduki semula Gaza secara berperingkat, bermula dengan Gaza City, namun rancangan itu dibatalkan selepas gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober.
Kalifa juga memberi amaran kepimpinan Haredi semakin lantang, manakala protes yang dianjurkan mereka banyak menggunakan sumber tentera dan polis disamping turut mendedahkan peningkatan serius kes pengelakan wajib tentera, dengan lebih 17,000 individu didapati mengelak daripada menyertai tentera.



