Bekas pegawai Menteri Pelancongan kena jel 6 tahun denda RM8.8 juta kes rasuah tender iklan

KUALA LUMPUR -Bekas Setiausaha Sulit Kanan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham dijatuhi hukuman penjara 6 tahun dan didenda RM8.8 juta selepas didapati bersalah terhadap lapan tuduhan menerima rasuah RM1.77 juta berkaitan tender perkhidmatan pengiklanan kementerian itu pada tahun 2018.

Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes Saifullah.

Sepanjang prosiding, Saifullah, 34 yang berkot biru dan berada dalam kandang tertuduh, menangis teresak-esak ketika Suzana mensabitkan dan menjatuhkan hukuman berkenaan.

Suzana turut memerintahkan Saifullah yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Kanan Datuk Mohamaddin Ketapi, dipenjara tujuh tahun jika gagal membayar jumlah denda terbabit.

Bagaimanapun, Suzana membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menetapkan jaminan sebanyak RM280,000. Beliau juga menasihati Saifullah supaya berubah.

“Awak masih muda. Saya harap awak benar-benar insaf dan berubah menjadi lebih baik,” nasihat Suzana.

Pada Februari tahun lalu, mahkamah memerintahkan Saifullah membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi lapan daripada 19 pertuduhan terhadapnya.

Lapan pertuduhan itu berkaitan dakwaan menerima rasuah berjumlah RM1,765,000 oleh Saifullah daripada pemilik Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto, melalui Roslan Lahada.

Jumlah itu sebagai dorongan untuk Saifullah mendapatkan tender perkhidmatan pengeluaran jenama dan kreatif untuk Inter Bev, memetik lapor FMT pada Khamis.

Kesalahan itu dilakukan di Red Box Karaoke dan kedai kopi Coffee Bean di Pusat Beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur; di pejabat setiausaha sulit kanan kementerian di Putrajaya; di Vipod Residences di Temasya Anggun, Glenmarie, Selangor; dan di stesen minyak Petronas di Dengkil.

Kesalahan berlaku antara 21 Dis 2018 dan 1 Mac 2019.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat