KUALA LUMPUR – Meskipun pernah berada di puncak kuasa perkhidmatan awam, calon Pakatan Harapan (PH) DUN Merotai Datuk Ruji Ubi sanggup berkorban dengan memilih untuk kembali berbakdi tanah kelahirannya, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Setiausaha Agung PH itu, pilihan yang diputuskan Ruji itu menujukkan jiwa seorang pemimpin rakyat yang mahu menabur bakti dengan pengalaman dan kecekapannya mentadbir.
“Saya berada di N.72 Merotai, Tawau, bagi menyatakan sokongan penuh dan membantu kempen sahabat saya, Datuk Ruji Ubi.
“Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau sebagai calon di sini, saya terus menawarkan diri untuk membantu di Merotai. Bukan kerana hubungan kerja kami dahulu semata-mata, tetapi kerana saya tahu nilai sebenar pengalaman lebih 30 tahun beliau dalam pentadbiran negara wajar dimanfaatkan untuk rakyat Merotai.
“Walaupun pernah berada di puncak perkhidmatan awam, Ruji memilih untuk kembali berbakti di tanah kelahirannya. Pilihan itu sendiri menunjukkan jiwa seorang pemimpin rakyat yang mahu berkhidmat untuk rakyat.
Justeru, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri merayu kepada seluruh pemilih di Merotai, berilah beliau peluang, bersama kita jadikan Merotai salah satu kerusi Pakatan Harapan dan menjadi sebahagian daripada parti yang bakal menubuhkan Kerajaan Sabah nanti.
Dalam pada itu Saifuddin juga yakin dengan potensi Ruji untuk membawa perubahan signifikan kepada pembangunan dan pentadbiran di kawasan itu.



