MENJUAL EMOSI  DALAM PRN

- Advertisement -

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah berlangsung selama seminggu. Ada seminggu lagi untuk 447 calon daripada 16 pertubuhan politik dan bebas perlu berusaha memenagi 73 kerusi yang dipertandingkan.

Dalam keadaan persaingan yang sengit ini sekali lagi laungan Sabah for Sabahan dilaungkan secara bersungguh oleh Warisan dan juga kadang-kalanya PCS.

Adalah sangat aneh isu Sabah dianaktirikan ini hanya muncul apabila pemimpin hilang kuasa atau mahu merebut kuasa yang lebih tinggi.

Anehnya kebanyakan pemimpin politik Sabah yang bercakap soal ini sama ada telah berdekad menjadi sekutu rapat dengan Persekutuan atau telah menjadi pemimpin atasan negara melalui Barisan Nasional.

Realitinya, selama lebih dua dekad BN mentadbir, Sabah telah mencapai kemajuan yang luar biasa dan pantas terutama dua penggal terakhir di bawah Tan Sri Musa Aman.

Benarlah mustahil ia untuk setaraf Kuala Lumpur mahu pun Putrajaya. Namun keadaan sebahagian besar kampung-kampung dan luar bandar Sabah tidak jauh berbeza dengan di Semenanjung. Apa sahaja kemajuan di Semenanjung tetap sampai di Sabah.

Jika semenanjung ada talian internet 4G maka di Sabah juga ada termasuk di kawasan-kawasan seperti Kudat, Sandakan, Kota belud dan lain.

Benar ada kawasan di Sabah mempunyai talian internet semacam ‘siput babi’. Namun ia bukan sahaja di tempat tertentu di Sabah, ia juga berlaku di Semenanjung.

Bukan sahaja di Sabah masih tertinggal dari arus pembangunan, masih ada jalan tanah merah dan masih berhadapan laluan pengangkutan yang daif, di Semenanjung juga ada demikian.

Negeri Sabah ini besar dan penuh dengan bukit bukau dan hutan belantara.

Laungkanlah slogan sabah untuk penduduk sabah ini sekuat mana pun, berilah kemenangan kepada parti berakar di negeri sahaja pun, ia tidak akan mampu memberi pembangunan sekelip mata.

Sabah for Sabahan adalah satu kempen yang memperjudikan perpaduan dan menjejaskan semangat nasionalisme rakyat.

Pada tahun-tahun 60-an, 80-an dan 90-an, ramai juga penduduk semenanjung yang berkorbankan keselesaan hidup, berjauhan dari kampung halaman dan mengambil risiko keselamatan untuk datang ke negeri ini berkhidmat sebagai guru, askar dan polis jauh di pedalaman Sabah.

Ini semua kerana kita adalah satu negara tanpa kecurigaan dan taksuban kenegerian yang melampau.

Realiti Politik

Kempen anti-Persekutuan, anti-Semenanjung dan anti-Malaya sentiasa digunakan apabila mahu menentang UMNO dan Barisan Nasional di Sabah.

Ada ketika kempen ini berjaya seperti mana yang digunakan oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Umum 1990. Bagaimanapun sejarah juga menunjukkan akhirnya PBS menjadi parti yang mesra Persekutuan.

Pada 2018 Warisan dan Mohd Shafie Apdal menggunakan taktik yang sama. Sungguhpun beliau bersama kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau tidak menyertai gabungan Pakatan Harapan atau menyertai Parti Pribumi Bersatu (PPBM).

Beliau mengambil alih Parti Pembangunan Warisan Sabah menjenamakan semula kepada Parti Warisan Sabah (Warisan). Tujuan beliau tidak menyertai mereka hanyalah satu iaitu untuk mengeksploitasi sentimen Sabah untuk rakyat Sabah.

Warisan gagal menjatuhkan kerajaan BN dalam PRU-14, kemudiannya menggunakan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan untuk mejatuhkan kerajaan pimpinan Tan Sri Musa Aman yang berusia dua hari.

Sekelip mata sahaja laungan Sabah for Sabahan senyap sepi.

Malah bagi menarik sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN dan Upko menyokongnya, Mohd Shafie menggunakan alasan perlu berbaik dengan kerajaan Persekutuan untuk pembangunan kawasan.

Maka selama 22 bulan beliau dan Warisan hidup berkiblatkan Persekutuan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hari ini apabila pentadbiran beliau telah hilang sokongan majoriti, sekali lagi laungan Sabah for Sabahan diutarakan.

Beliau membubarkan DUN dengan alasan tidak mahu pentadbiran Sabah dikawal oleh Persekutuan. Tidak mahu Musa Aman kembali menjadi Ketua Menteri kerana Musa ini kehendak Persekutuan bukan kehendak rakyat Sabah.

Mohd Shafie mungkin lupa Musa adalah telah menang dalam PRU lepas sebelum dijatuhkan oleh beliau dengan bantuan Persekutuan.

Pengundi di Sabah harus sedar dalam pilihan raya pemimpin politik akan menjual apa sahaja emosi untuk menarik sokongan pengundi.

Mohd Shafie dan Anifah Aman (PCS) telah berada dalam UMNO hampir 15 tahun. Tiba-tiba hari ini apabila mereka bukan lagi pemimpin UMNO semuanya menjadi parti Sabah lawan parti Semenanjung.

Tiba-tiba sahaja UMNO dan BN menjadi parti semenanjung sedangkan semua pemimpin dan calon BN Sabah yang bertanding adalah anak jati negeri sabah.

Demikianlah politik memecahbelahkan negara. Namun ia bukan salah politik, bukan salah orang politik tetapi ia hanya salah pengundi.

Ini kerana orang politik meniupkan seruling sentimen mengikut kehendak rakyat.

Pengundi di Sabah sahaja boleh memutuskan untuk menjayakan sentimen kenegerian melampau ini atau memilih mereka yang benar-benar mahu membangunkan negeri ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat