Pemuda Umno tak akan biarkan Akmal berjuang sendirian – Nazifuddin Najib

KUALA LUMPUR – Exco Pemuda Umno Datuk Nazifuddin Najib menegaskan pertuduhan terhadap Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh bukan sahaja cubaan untuk menekan seorang individu, tetapi juga amaran kepada semua pemimpin muda agar jangan berani bersuara.

Kata Ketua Umno Bahagian Langkawi itu, ia adalah cubaan untuk melemahkan semangat Pemuda Umno, tetapi saya tegaskan di sini – kita tidak akan tunduk. Kita tidak akan gentar. Kita tidak akan biarkan seorang pemimpin muda berjuang sendirian.

“Sebagai Ketua Umno Bahagian Langkawi dan Exco Pemuda Umno Malaysia, saya melihat tindakan ini sebagai satu bentuk ketidakadilan yang nyata.

“Ia bukan sahaja cubaan untuk menekan seorang individu, tetapi juga amaran kepada semua pemimpin muda agar jangan berani bersuara. Ia adalah cubaan untuk melemahkan semangat Pemuda Umno, tetapi saya tegaskan di sini – kita tidak akan tunduk. Kita tidak akan gentar. Kita tidak akan biarkan seorang pemimpin muda berjuang sendirian.

“Saya menyeru semua ahli Umno, khususnya Pemuda Umno di seluruh negara, untuk bersolidariti dengan Ketua Pemuda Umno. Kita doakan kekuatan dan ketabahan beliau, kita berikan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi, dan kita buktikan bahawa walau apa pun tekanan yang cuba dikenakan, semangat perjuangan kita tidak akan padam.

“Ini bukan kali pertama undang-undang dijadikan alat untuk menekan musuh politik, tetapi sejarah telah membuktikan bahawa fitnah dan kezaliman tidak akan bertahan lama.

“Kebenaran akhirnya akan mengatasi kebatilan, dan keadilan akan berpihak kepada mereka yang benar. Hari ini mereka cuba menutup suara Pemuda Umno, tetapi suara ini akan bergema lebih kuat, lebih jauh, dan lebih berani,” kata anak bekas Perdana Menteri itu.

Beliau memberitahu, telah dimaklumkan secara rasmi oleh Pegawai Penyiasat Polis bahawa Dr Akmal akan dituduh di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Namun kerana Akmal kini berada di luar kawasan, pertuduhan tersebut terpaksa ditangguhkan kerana mahkamah tidak boleh membacakan pertuduhan tanpa kehadiran beliau.

“Soal pokoknya di sini bukan soal teknikal atau prosedur, tetapi mengapa seorang pemimpin muda Umno yang hanya bersuara lantang demi rakyat, agama, bangsa dan negara, tiba-tiba dikenakan pertuduhan yang begitu berat di bawah Seksyen 505(b) yang sepatutnya digunakan untuk mengekang berita palsu yang boleh mencetuskan huru-hara awam.

“Jelas sekali ini bukan soal undang-undang, tetapi satu pendakwaan bermotif politik yang mahu menakut-nakutkan dan membungkam suara anak muda yang berani berkata benar,” katanya.

Menurut Nazifuddin, seksyen 505(b) menyebut sesiapa yang membuat, menerbitkan atau menyebarkan kenyataan atau laporan yang boleh menimbulkan ketakutan atau mendorong orang awam mengganggu ketenteraman boleh dianggap bersalah, dengan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda.

“Tetapi dalam kes Ketua Pemuda Umno, adakah benar kenyataannya membawa ketakutan awam atau menghasut rakyat untuk membuat huru-hara? Atau ia hanyalah pandangan politik yang tidak disenangi pihak tertentu lalu cuba diputar seolah-olah mengancam keselamatan negara?

“Inilah persoalan besar yang membuktikan undang-undang telah diperalatkan demi kepentingan politik sempit,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat