Saya tak koyak, saman tetap saman: Penerbit Gadis Jolobu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat produksi, Zebra Studio Sdn Bhd sudah menyerahkan surat tuntutan saman kepada YouTuber yang didakwa memfitnah filem Gadis Jolobu The Movie pada 11 Ogos lalu.

Pengasas Bersama Zebra Studio dan Penerbit Eksekutif, Saraleana Nattaya Azmi mengesahkannya, namun, enggan mengulas lanjut berhubung isu berkenaan.

Saraleana berkata, Zebra Studio sedang menunggu proses perundangan selanjutnya selepas menerima surat balasan daripada peguam YouTuber berkenaan.

“Tuduhan dilemparkan YouTuber jelas memfitnah kandungan filem Gadis Jolobu yang dikaitkan unsur lucah dan memburukkan adat serta budaya Minangkabau.

“Kami memandang serius tuduhan dilemparkan YouTuber berkenaan. Saman tetap saman.

“Ini kerana tuduhan ini satu hentaman, bukan mengkritik daripada sudut konstruktif dan ilmu perfileman,” katanya kepada BH Online.

Saraleana berkata, dia boleh menerima sekiranya ulasan diberikan secara membina dan ilmiah.

“Setakat ini, peguam memaklumkan sudah menerima surat balasan daripada YouTuber berkenaan pada 17 Ogos lalu. Kini, kami hanya menunggu tindakan selanjutnya daripada peguam masing-masing.

“Itu sahaja yang boleh dikongsikan. Kes berada di peringkat awal proses mahkamah,” katanya.

Saraleana ditemui pada majlis pelancaran filem Gadis Jolobu The Movie arahan CL Hor menerusi aplikasi platform Over-The-Top (OTT), Get Play, semalam.

 

Saraleana (kanan) bersama CL Hor (kiri) dan barisan pelakon filem Gadis Jolobu The Movie.
Saraleana (kanan) bersama CL Hor (kiri) dan barisan pelakon filem Gadis Jolobu The Movie.

 

Terdahulu, seorang YouTuber memuat naik komen mengundang kecaman dalam laman sosial dan menyifatkan filem Gadis Jolobu arahan CL Hor sebuah karya ‘infinity shit’.

Gadis Jolobu, projek terbitan Tremendous Entertainment dan Zebra Studio diterajui pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud dan pelakon baharu, Ahirine Ahirudin menemui penonton di pawagam pada 4 Ogos lalu.

Saraleana berkata, dia bukannya tidak boleh menerima kritikan atau ‘koyak’, sebaliknya, apa yang dilakukan bagi menuntut keadilan buatnya, malah, mempertahankan golongan penerbit.

“Saya cuma mahukan keadilan dan bukan penerbit tiada etika dalam menghasilkan karya.

“Jika filem Gadis Jolobu berunsur lucah dan merosakkan adat serta budaya Minangkabau, sudah tentu tidak melepasi tapisan Lembaga Penapis Filem (LPF) dengan klasifikasi PG13.

“Saya juga diberitahu beberapa penerbit lain yang mengadu mengenai YouTuber berkenaan. Mereka juga berdepan dengan nasib yang sama apabila karya dikritik dengan menggunakan bahasa yang biadap, namun, tidak memanjangkan isu hingga ke peringkat undang-undang.

“Saya tidak ‘koyak’, tetapi apa yang dilakukan lebih kepada memikirkan keadilan dan nasib golongan penerbit sekiranya perkara sama berlaku kepada mereka.

“Sekiranya apa yang dilakukan ini boleh membantu industri perfileman negara, saya akan terus berjuang,” katanya.

Tambah Saraleana, tindakan diambil bukan disebabkan kutipan filem terjejas, sebaliknya filem Gadis Jolobu menyasarkan ke pasaran antarabangsa.

“Kami tidak hanya memfokuskan kutipan di Malaysia sahaja. Ini kerana, filem Gadis Jolobu lebih tertumpu ke pasaran antarabangsa seperti China, Filipina, Indonesia, Brunei dan Thailand.

“Lagipun, penonton tempatan belum sepenuhnya ke pawagam. Filem Gadis Jolobu juga tidak boleh disamakan dengan kutipan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang lebih sensasi kerana filem ini mengangkat dialek Negeri Sembilan dan adat pepatih,” katanya.

Sementara itu, pengarahnya, CL Hor berkata, filem Gadis Jolobu kini boleh ditonton di platform OTT, Get Play bermula 26 Ogos ini.

“Platform Get Play adalah konsep terbaharu yang membolehkan penonton membayar setiap kandungan seperti membeli tiket di panggung wayang.

“Lebih menarik, Get Play berfungsi sebagai platform untuk mengembangkan karya tempatan ke peringkat global.

“Jadi, sebagai permulaan, setiap RM1 langganan akan disalurkan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan sempena Bulan Kemerdekaan,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat