18 juruterbang HAS raih pengiktirafan Airbus selepas catat sehingga 1,500 jam penerbangan H175

MIRI – Seramai 18 juruterbang HAS International Sdn. Bhd. (HAS) menerima pengiktirafan daripada Airbus Helicopters selepas masing-masing mencapai pencapaian 500, 1,000 dan 1,500 jam penerbangan menggunakan helikopter Airbus H175.

Pengiktirafan itu diberikan sempena Minggu Keselamatan HAS 2026 yang berlangsung di Helibase dari 14 hingga 17 Julai lalu dengan tema “Respond Right, Learn Always”.

Pencapaian berkenaan diraih dalam tempoh kira-kira tiga tahun sejak HAS memulakan operasi Airbus H175 di Sarawak pada 2023.

HAS menyediakan perkhidmatan pengangkutan kru luar pesisir dan pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) kepada beberapa syarikat tenaga utama, termasuk PETRONAS Carigali, Shell Malaysia, TotalEnergies, Mubadala Energy, ENEOS, PTTEP dan SK Earthon.

Operasi berkenaan dilaksanakan di kawasan minyak dan gas luar pesisir Sarawak yang merupakan antara kawasan operasi tenaga paling sibuk di Malaysia.

Pengarah Urusan HAS International Sdn. Bhd., Hasery Bakar berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja mencerminkan pengalaman penerbangan yang dikumpulkan oleh juruterbang syarikat, malah menggambarkan tahap kematangan keseluruhan sistem operasinya.

Menurutnya, persekitaran operasi luar pesisir menuntut lebih daripada sekadar jumlah jam penerbangan kerana setiap pelanggan mempunyai jangkaan operasi, piawaian jaminan dan keperluan keselamatan yang tinggi.

“Untuk memberikan perkhidmatan secara konsisten dalam landskap operasi sedemikian memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, latihan yang ketat, penyelenggaraan berdisiplin serta budaya keselamatan yang tidak boleh dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasery berkata, pencapaian juruterbang itu turut disokong oleh jurutera, juruteknik serta pasukan operasi, keselamatan dan sokongan yang memastikan setiap misi dilaksanakan mengikut piawaian ditetapkan.

Katanya, pengiktirafan Airbus juga membuktikan keupayaan khusus yang telah dibangunkan oleh HAS di Sarawak, selain sumbangan syarikat dalam memperkukuh sektor penerbangan dan aeroangkasa negeri itu.

“Ia selaras dengan aspirasi Sarawak untuk membangunkan ekosistem aeroangkasa yang berdaya saing di peringkat global serta ekonomi tenaga yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan,” katanya.

Sejak menjadi perintis operasi Airbus H175 di Malaysia pada 2023, HAS telah membangunkan antara komuniti juruterbang H175 paling berpengalaman di rantau ini.

Syarikat itu juga merupakan antara pengendali perintis Airbus H175 di rantau Asia Selatan yang menyokong aktiviti minyak dan gas luar pesisir.

Sementara itu, Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia, Axel de Pascal berkata, pencapaian juruterbang HAS mencerminkan tahap profesionalisme, disiplin operasi dan keselamatan yang tinggi.

“Airbus berbangga mengiktiraf pencapaian para juruterbang HAS yang telah mencapai tahap penting jam penerbangan H175 ini.

“Kami berbesar hati meraikan pencapaian ini bersama-sama dan berharap dapat meneruskan kerjasama dalam memacu kecemerlangan operasi helikopter luar pesisir,” katanya.

Minggu Keselamatan HAS 2026 menghimpunkan warga kerja, pelanggan, pihak berkuasa kawal selia dan rakan industri bagi memperkukuh kepimpinan keselamatan, pembelajaran berterusan serta perkongsian amalan terbaik dalam sektor helikopter luar pesisir.

Hasery berkata, keselamatan merupakan asas kepada setiap aspek operasi syarikat dan bukannya sekadar salah satu keutamaan organisasi.

“Tanpa mengira kadar atau kerumitan operasi, komitmen kami untuk melindungi warga kerja, memberikan perkhidmatan yang selamat kepada pelanggan dan terus melakukan penambahbaikan akan sentiasa kekal.

“Komitmen inilah yang memberikan keyakinan kepada pelanggan untuk terus mempercayakan setiap misi kepada HAS,” katanya.

HAS yang ditubuhkan pada 2012 merupakan penyedia perkhidmatan helikopter luar pesisir tempatan bagi industri minyak dan gas.

Selain pengangkutan kru dan perkhidmatan MEDEVAC, syarikat itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja, keupayaan operasi dan budaya keselamatan penerbangan bertaraf antarabangsa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat