‘Gerobok Rezeki 5.0’ PUO, sediakan sarapan pagi percuma kepada pelajar setiap Jumaat

Oleh Zihan Zari

IPOH – Bagi membantu meringankan beban pelajar yang terkesan akibat kos sara hidup dan keprihatinan terhadap kebajikan mereka terus menjadi keutamaan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Politeknik Ungku Omar (PUO) telah melancarkan ‘Gerobok Rezeki’ 5.0.

Program ini merupakan inisiatif yang menyediakan sarapan pagi percuma kepada pelajar pada setiap hari Jumaat sepanjang semester.

Gerobok Rezeki yang telah memasuki edisi kelima itu dimulakan pada 3 Julai lalu dengan pengagihan sebanyak 100 pek nasi lemak kepada pelajar di dua kampus, masing-masing 70 pek di Kampus Utama, Dewan Warisan dan 30 pek di Kampus Bercham, dekat sini.

Inisiatif yang diasaskan sejak kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2021/2022 itu akan diteruskan sehingga Minggu Ke-14 sebagai usaha membantu pelajar, khususnya golongan yang memerlukan, selain memastikan mereka memulakan sesi pembelajaran dalam keadaan lebih selesa dan bertenaga.

Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh berkata, Gerobok Rezeki bukan sekadar program kebajikan, malah menjadi lambang budaya penyayang yang terus diperkasakan di kampus.

Beliau berkata, PUO bukan sahaja komited melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang cemerlang, malah mahu memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian.

“Gerobok Rezeki membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan sikap saling membantu mampu membentuk ekosistem kampus yang lebih sejahtera serta inklusif.

“Kejayaan program itu turut membuktikan sinergi erat antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara, ”katanya.

“Saya berharap lebih ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan dan bekerjasama dengan PUO agar manfaat program ini dapat diperluaskan kepada lebih ramai pelajar pada masa akan datang,”katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, pelaksanaan Gerobok Rezeki 5.0 mendapat sokongan daripada beberapa penyumbang strategik iaitu TepiHaus Taman Cempaka, Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Masjid Sultan Azlan Shah, Dellamar Coffee serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Program itu mencerminkan komitmen berterusan PUO dalam memperkukuh agenda kebajikan pelajar selaras dengan aspirasi Politeknik APEX, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, inklusif dan berteraskan nilai ihsan.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat